Thursday, March 31, 2016

PADAMU AKU BERSUJUD PART 1






ASSALAMUALAIKUM, maaf lama menyepi. sebelum kau orang baca tu aku nak minta maaflah kalau n3 kali ni kurang menepati citarasa kau orang. ini kisah masyarakat. hope kau orang sudilah baca n komen ya. insya-ALLAH. yg baik dtgnya dari ALLAH. yg buruk dtgnya dari aku....


================




KU MENATAP dalam kelam
Tiada yang bisa kulihat
Selain hanya nama-MU, ya ALLAH
Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari
Segala fitnah
Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-MU yang selalu bertaubat

Ampuniku ya ALLAH
Yang sering melupakan-MU
Saat Kau limpahkan karunia-MU
Dalam sunyi aku bersujud…

Pusat Pemulihan Sinar Harapan

DINO menongkat dagu sambil merenung nasib diri. Hatinya merasa sebak tatkala lagu Padamu Aku Bersujud itu diputarkan di corong radio. Airmatanya bergenang di kelopak mata. Kekesalan mula membelit diri. Masih adakah sinar harapan buat insan sekotor dirinya? Persoalan yang tidak mampu dirungkainya itu tidak sudah-sudah menghantui diri. Sekilas wajah ibu, ayah serta adik-adiknya terlayar di mata. Wajah kebencian adik, wajah sayu si ibu dan wajah hampa si ayah menghimpit dirinya. Kekesalan kian menebal di dalam diri.

 
DINO


“Ya ALLAH, sesungguhnya aku hamba-MU yang hina. Ampunkanlah dosaku ya ALLAH. Andai dapat aku memutarkan masa, aku ingin menjadi seperti dahulu. Dimana waktu aku masih kecil. Taat pada ibu bapaku.
“Ya ALLAH aku pohon  hapuskanlah dosa-dosaku. Sesungguhnya aku takut untuk ke neraka-MU. Namun ya ALLAH apakah aku hamba-MU yang keji lagi hina ini layak untuk ke syurga-MU? Dan adakah kemafaan buatku kerana telah menyakiti hati ibu yang telah penat lelah menjaga dan melahirkanku? Mak… Dino rindukan mak,” rintih Dino lantas dia menangis menangisi kekhilafan diri.

Airmata tidak pernah jemu menemaninya sepanjang dia berada di Pusat Pemulihan Sinar Harapan itu. Sejak hari pertama kakinya melangkah ke pusat pemulihan itu hatinya dirundung hiba. Sebak hatinya tika mengingatkan dosa-dosa silam.

Imbas Kembali…

MAK TIMAH kehairanan melihat tingkah si anak yang seakan menahan gian itu. Langkah diatur mendekati si anak. Disentuh lembut belakang badan anaknya. Namun dengan kasar tangannya ditolak. Dino merenung tajam si ibu.

‘Menggangu betul orang tua ni. Aku dah la tengah ‘gian’. Lama tak dapat barang ni. Dia pula sibuk je nak ganggu. Huh! Menyerabutkan,,’ gumam Dino di dalam hati.

“Kamu kenapa ni along? Kamu sakit ke? Atau ka… kamu ada ambil ‘benda haram’ tu?” soal Mak Timah meminta kepastian.

Menggigil seluruh tubuh Dino tatkala mendengar pertanyaan demi pertanyaan itu. Bibirnya kelihatan sedikit membiru.

 Mak Timah perasan akan perubahan anaknya semenjak dua tiga bulan lagi. Jika dahulu anaknya itu bertubuh agak sasa, kini anaknya kurus melidi. Tidak ubah seperti jerangkung saja. Hati tua mana yang tidak risau. Apatah lagi kini isu ‘dadah’ menjadi topik hangat di dada akhbar. Ya ALLAH lindungilah anakku dari segala apa yang aku fikirkan selama ini.

“Along cuba cakap dekat mak…” pantas Dino mencaras kata-kata ibunya. Telinga terasa bingit tatkala mendengar suara si ibu.

“Diamlah orang tua! Memekak je!” jerkah Dino. Dia duduk memeluk lututnya. Cuba menahan rasa gian yang semakin menjadi-jadi.

MAK TIMAH


Mak Timah mengurut dadanya. Dia berisghfar panjang. Dada terasa sendat apabila mendengar jerkahan anak yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh.

“Astaghfirullahalazim. Kamu kenapa ni nak?”

“Aku cakap diam. Diamlah! Kau pekak ke? Kau bagi aku duit. Aku nak duit sekarang!” Dino bersuara sedikit meninggi. Giannya tidak dapat dibendung lagi. Hingga dosa dan pahala juga ditolak ke tepi.

“Mana mak nak ada duit lagi along. Yang ada pun hanya mampu tampung kita anak beranak untuk makan saja. Geran tanah kita pun along dah jual… ”

Dino meraup rambutnya dengan kasar. Tubuhnya kian menggigil. Menahan amarah dan juga menahan rasa ‘giannya’ itu.

“Aku tak kira! Aku nak duit. Bagi aku duit sekarang! Aku dah lama bertahan ni. Kau bagi aku duitlah!”

Mak Timah menahan rasa sebak yang bertandang di hati. Sedih apabila anak yang selama ini taat, patuh segala arahannya menengkingnya sedemikian rupa.

“Mak tak ada du…” pantas Dino mendekati ibunya. Menggeletar tubuh Mak Timah melihat wajah anaknya yang seakan ingin menerkamnya itu.

“Kau tak mahu bagi duit? Tak apa. Tapi bagi aku barang kemas kau tu. Cepat!” gesa Dino.

“Jangan along. Ni satu-satunya harta pusaka yang mak miliki.”

Dino berang mendengar kata-kata ibunya. Tangannya mencapai rantai yang tergantung di leher ibunya. Mak Timah cuba bergelut untuk menyelamatkan satu-satunya harta pusaka yang dimilikinya. Namun kudratnya tidaklah sekuat mana. Tubuh tua itu terjelepok jatuh ke lantai.

Dino pula semakin rakus menyakiti tubuh tua itu. Setelah dicapainya rantai leher itu dia menjadi semakin agresif. Lantas tanpa akal fikiran yang waras, dia menyepak terajang tubuh tua itu hingga terkulai layu. Kerana DADAH dia sanggup menyakiti insan yang telah melahirkannya. Kerana DADAH jugalah dia hilang pertimbangan, hilang pedoman. Dunianya kini hanya dadah semata-mata.

Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah : 195)

Langsung tidak terdetik di hatinya merasa kasihan apabila melihat darah yang membuak keluar di dahi serta hidung si ibu. Dengan langkah terhuyung-hayang dia meninggalkan si ibu yang merayu meminta pertolongan.

“Along… tolong mak nak. Along,” rayu si ibu. Namun rayuannya sedikit pun tidak menarik perhatian si anak yang semakin jauh dari pandangan.

Prang!

Dino tersentak dari lamunan tatkala cawan yang berada di meja kopi itu jatuh berderai. Dia menyeka airmata yang tidak silu mengalir di pipi. Tatkala teringatkan ibunya pasti airmata akan mengalir bersama sebuah penyesalan.

“Dino buat apa kat sini? Kenapa duduk seorang?” Irham salah seorang ahli pusat pemulihan itu menegurnya.

IRHAM



 “Tak ada apa Ham. Cuma… saya teringat kisah silam. Saya menyesal. Menyesal kerana ambil jalan singkat. Saya rasa hina sangat. Masyarakat pasti akan memandang serong orang yang tak berguna seperti saya. Saya malu dengan diri saya sendiri. Saya terlalu kotor untuk pohon keampunan ALLAH,” luah Dino. Suaranya kedengaran hiba. Tangisannya juga semakin berlagu sendu.

Irham melabuhkan punggung di sisi Dino. Lantas tubuh itu didakapnya.

“ALLAH maha pengampun Dino. Saya juga kotor dan jijik. Tapi ALLAH memberikan saya peluang kedua untuk bertaubat. Pada pandangan manusia itu semua tidak penting. Tapi pandangan ALLAH itulah yang lebih penting. Dino… saya tahu awak sudah insaf. Dan saya percaya bahawa ALLAH masih menyayangi awak. Disebabkan itulah awak berada di sini. Untuk membersihkan diri awak dari terus tercemar dengan najis dadah.”

Tangisan mereka bersatu. Hanya mereka saja yang tahu peritnya sebuah kehidupan bergelar seorang  ‘bekas penagih’.

“Bagaimana dengan mak saya? Apakah dia akan mengampunkan dosa saya?” tanya Dino persis anak kecil. Pelukan dileraikan. Matanya jelas berkaca.

“Insya-ALLAH. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W pun mengampunkan umatnya. Apatah lagi seorang ibu yang melahirkan awak.”

“Tapi saya anak derhaka. Saya penyebab ayah saya meninggal. Saya juga dah sakiti ibu saya. Apakah saya layak untuk dimaafkan?”

“Dino… tiada kata yang mampu saya ucapkan melainkan bersabar. Ini semua ujian ALLAH. Saya percaya ibu awak pasti akan mengampuni segala khilaf awak. Soal ayah awak, itu semua bukan salah awak. Semua itu takdir. Dan awak harus redhakannya.”

Dino meloret senyum. Terasa hatinya sedikit damai setelah mendengar bicara Irham itu. Di Pusat Pemulihan Sinar Harapan itulah dia belajar bagaimana untuk mengawal api kemarahan. Dia juga sudah kembali sujud menyembah ILLAHI. Dia mengucap syukur. Jika bukan ibunya menelefon pihak polis sudah pasti dirinya terus terjebak  dengan najis dadah.

Imbas kembali…
           
KENAPA kau telefon polis ha orang tua? Kau memang nak tengok aku meringkuk dalam penjara ke hah?” tengking Dino.

Dia merasa berang apabila dicekup oleh pihak berkuasa tika dia sedang asyik dengan dunianya itu. Ingin saja dia membelasah insan yang telah menyerahkannya kepada pihak berkuasa itu. Namun belum sempat dia berbuat apa-apa tiba-tiba tangannya digari. Lantas dia diheret keluar dari ‘sarang’ dimana tempatnya melepaskan gian selama ini.

“Mak tak sanggup nak tengok kau terus-terusan menyakiti tubuh kau nak. Mak buat ni demi kebaikan kau sendiri. Mak harap kau berubahlah nak. Mak sayangkan kau,” kata Mak Timah sambil menahan sendu. Bukan dia tidak sayang. Namun ini juga demi kebaikan anaknya. disebabkan itulah dia tegar menghubungi pihak PDRM demi menangkap anaknya dari terus melakukan jenayah.

“Ah! Kau memang tak guna!” herdik Dino lantas menyepak tubuh Mak Timah.

“Hoi! Jangan kurang ajar ya. Ingat sikit… ini ibu yang melahirkan kau!” jerkah Dynas. Berang hatinya tatkala melihat sikap kurang ajar abangnya itu. Huh! Jika diturutkan hati ingin saja dia mencakar wajah si abang. Dasar anak tak kenang diuntung.

“Along! Jaga sikit mulut along tu. Along patutnya berterima kasih pada mak. Bukannya memaki hamun mak. Anak jenis along ni ha? Tak kenang budi!” herdik Dizly adik keduanya itu.

“Ah! Kau dengan orang tua ni sama je.” Dino berkata sebelum dia akhirnya diheret masuk ke dalam kereta polis itu.

“Aku tahu la nak masuk sendiri. Tak payah nak paksa-paksa aku la bodoh!” jerkah Dino pada pegawai polis yang bertugas.

Jatuh lagi airmata lelakinya tatkala kisah itu berlegar di ingatan. Dia menoleh ke sisi. Ternyata Irham masih setia menemaninya di situ.

“Kisah silam yang pahit memang sukar untuk kita lupakan. Saya faham perasaan awak Dino. Saya juga pernah alaminya. Jangan lupa ya bahawa saya dulu yang menginap pusat pemulihan ni,” seloroh Irham seraya ketawa kecil. Dino hanya tersenyum.

“Dah masuk waktu asar. Marilah kita solat berjemaah. Lepas asar nanti ada gotong royong bersihkan surau pula,” ajak Irham seraya menarik tangan Dino.

“Kalau saya nak jadi imam boleh?”

Irham terpana demi sahaja mendengar permintaan itu. Ya ALLAH syukurku pada-MU kerana ENGKAU telah membuka pintu hati Dino untuk kembali ke jalan-MU. Pintaku ya ALLAH semoga beliau sentiasa berada di bawah lembayung kasih-MU ya RABB.

“Baiklah. Saya pasti semua yang ada disini pasti gembira andai tahu awak mahu menjadi imam,” usai berkata mereka mengatur langkah menuju ke surau.


SEMUA jemaah turut mengalirkan airmata apabila mendengar ketulusan doa yang dibaca oleh Dino itu. Terhenjut-henjut bahu Dino menahan tangisan. Kekesalan sentiasa menghimpit diri biarpun kini dia sudah berubah menuju ke arah kebaikan. Bagaikan terdengar suara rayuan si ibu tatkala dia menyepak terajang tubuh tua itu. Sendu di hati kian terasa.

“Ya ALLAH, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami. Ya ALLAH sesungguhnya kami hamba-MU yang hina. Kami telah menzalimi diri kami. Maka ya ALLAH, KAU hapuskanlah segala dosa kami. Hanya pada-MU tempat kami bergantung harap.

“YA ALLAH sesungguhnya kami tidak sanggup untuk ke neraka-MU. Namun tidak pula kami layak untuk ke syurga-MU. Syukran ya ALLAH, kerana ENGKAU mengurniakan kami kesempatan untuk bertaubat dan kembali bersujud pada-MU. Hanya satu pinta kami janganlah ENGKAU memesongkan hati kami setelah ENGKAU mengurniakan kami taufik dan hidayah-MU. Aamiin ya rabbal alamiin.”

Dino mengesat airmata yang menuruni pipi. Dia masih duduk bertapa di dalam surau. Hatinya merasa tenang tatkala berada di dalam rumah ALLAH itu. Setelah semua jemaah beransur pulang dia bangkit lalu mengambil kitab suci Al-Quran. Dia memulakan bacaan dengan ayat lazim Al-fatihah.

Begitu syahdu alunan bacaannya hingga menarik hati sesiapa jua yang mendengarnya. Setelah setengah jam mengaji, dia menutup kitab suci itu. Sedikit tenang hatinya apabila membaca kalam suci itu. Dia menadah tangan memohon doa pada Yang maha Esa.

“Ya ALLAH, sesungguhnya hanya ENGKAUlah tempatku meminta. Engkau jugalah yang memberiku bahagia. Aku pohon ya ALLAH jadikan aku hamba-MU yang selalu bertaubat. Ampunkan aku ya RABB kerana selama ini aku alpa dengan duniawi. Aku sering melupakan ENGKAU ya ALLAH. Sesungguhnya dosaku pada-MU sungguh tidak terhitung. Namun aku pohon agar ENGKAU mengampunkanku.

“Andai suatu hari nanti sudah sampai ajalku, matikanlah aku di dalam iman. Berikanlah aku kekuatan untuk menempuh ujiaan ini. Tabahkan hatiku untuk berhadapan dengan masyarakat di luar sana. Aamiin.”

Dino bingkas bangkit apabila mendengar suara riuh rendah di luar surau. Pantas dia mengesat airmatanya. Dia melemparkan senyum pada ahli-ahli pusat pemulihan. Dino mengambil bahagian untuk membersihkan di dalam surau. Irham turut mengekori langkahnya.

“Dino,” seru Irham. Dino menoleh sekilas sebelum dia mengatur langkah untuk mencapai penyapu.

“Syabas ya. Doa awak tadi menyentuh hati kami semua. Saya percaya bahawa awak benar-benar memaksudkan apa yang terlafaz dari bibir awak tadi.”

Dino hanya tersenyum. Irham menarik nafas berat. Dia tidak faham dengan lelaki itu. Ada masa dia lihat lelaki itu termenung, ada masa pula dia lihat lelaki itu menangis. Terkadang lelaki itu banyak berbual. Terkadang pula lebih banyak berdiam. Dia mengerti sebab apa. Pasti lelaki itu tidak mahu berbual mesra kerana khuatir akan kehilangan insan yang sudah rapat dengannya. Kerana dia juga berperasaan begitu terhadap Dino. Entah mengapa hatinya benar-benar menyayangi lelaki itu.

Irham mengatur langkah mendekati Dino. Belum sempat dia bersuara tiba-tiba Pak Hasan selaku penjaga pusat pemulihan itu memanggil nama Dino. Dia tersenyum pada Pak Hasan. Di pusat pemulihan itu, Pak Hasan juga dikenali sebagai Sarjan Misai. Kerana beliau merupakan bekas askar yang kini sudahpun pencen. Biarpun Pak Hasan sedikit garang namun dia tidak pernah lokek dengan senyuman.

“Dino ibu kau ada datang tu. Ada kat ruang tamu. Kau pergilah jumpa ibu kau. Pak Hasan tahu kau rindukan ibu kau bukan?” bersinar-sinar mata  Dino tatkala mendengar ujaran Pak Hasan.

“Baiklah. Terima kasih Pak Hasan. Saya pergi jumpa mak saya dulu ya. Nanti saya akan bersihkan surau. Ham nanti saya tolong awak,” ujar Dino sebelum berlalu.

Irham hanya mengganggukkan kepala tanda jawapan. Sungguh dia merasa iri hati melihat Dino yang teruja untuk bertemu dengan ibunya. Sedangkan dirinya hanya mampu mensedekahkan al-fatihah buat si ibu. Ya! Ibunya meninggal dunia adalah disebabkan dirinya. Dia yang memukul insan yang melahirkannya itu hingga si ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hanya semata-mata demi wang! Dia sanggup melakukan apa saja. Apatah lagi wang tersebut digunakan untuk mendapatkan bekalan ‘barang haram’ itu.

“Kau kenapa? Ni Pak Hasan nak tanya. Selama kau duduk kat pusat pemulihan ni tak pernah pula Pak Hasan nampak ada sesiapa nak jumpa dengan kau. Mak dan ayah kau tak boleh memaafkan kekhilafan kau ke?” tanya Pak Hasan dengan berhati-hati. Bimbang andainya pertanyaan itu mengguris hati jejaka muda dihadapannya.

Irham menghembuskan nafas sebelum menjawab pertanyaan itu. Entah mengapa tiba-tiba dia merasa dadanya sendat. Pilu terasa di hempedu hati tatkala fikiran kembali terlayar peristiwa itu. Sejujurnya dia tidak selesa untuk menceritakan kisah pahit itu. Bahkan selama  dia menetap di pusat pemulihan itu tidak pernah walau sekalipun dia menceritakan kisah pahit hidupnya.

“Ibu bapa saya sudah meninggal,” ujar Irham perlahan. Dia menundukkan pandangan. Kelopak matanya mula berkaca.

“Astaghfirullah. Maafkan Pak Hasan. Kau pun tak pernah nak cerita pada Pak Hasan. Kau pergilah berehat. Kasihan pula Pak Hasan tengok kau.”

“Tak apa. Saya boleh…”

“Kau pergi berehat sekarang. Kau nak dengar arahan Sarjan Misai ke kau nak kena hukum?” soal Pak Hasan dengan wajah yang sengaja diseriuskan. Irham memanggung kepala mendengar soalan berbaur ugutan itu.

“Baiklah Pak Hasan. Saya nak pergi sapa ibu Dino dulu. Saya teringin nak kenal dengan ibu Dino,” kata Irham lantas dia mengorak langkah meninggalkan surau.

Fikirannya melayang pada kenangan lama. Hampir saja airmatanya menitis tatkala wajah si ibu berlegar di ruangan mata. Langkahnya terhenti saat mata tertancap pada figura Dino bersama ibunya. Mereka berpelukan erat. Seakan melepaskan rindu yang selama ini bersarang di lubuk hati. Irham hanya menyaksikan drama sebabak itu. Tidak mahu menggangu. Baru setapak dia melangkah dia menoleh apabila mendengar namanya diseru seseorang. Pantas dia mendekati Dino.

“Kenalkan ibu saya. Wanita paling cantik di dunia. Bidadari saya. Mak Timah namanya. Mak ini kawan along. Irham. Dia baik sangat mak. Dialah yang banyak beri tunjuk ajar tentang agama pada along.” Dino memperkenalkan si ibu pada Irham.

“Oh, inilah Irham ya? Mak Timah nak ucapkan terima kasih sebab selama ni kamu banyak membantu Dino,” ucap Mak Timah tulus ikhlas.

“Sama-sama Mak Timah. Dah jadi tanggungjawab saya sebagai sahabat. Membimbing seandainya melihat si sahabat terleka.”

Lega hati tuanya apabila mendengar ujaran Irham. Baguslah sekurang-kurangnya ada juga insan yang sudi bersahabat dengan anaknya.

“Mak… bagaimana dengan adik-adik? Mereka sihat? Mereka tak mahu ke datang melawat along? Atau mereka masih bencikan along?” mendengar saja pertanyaan demi pertanyaan itu membuatkan hatinya merasa sebak. Tiba-tiba dia teringat perbualannya bersama dua orang lagi anaknya. Perbualan dimana dia memujuk si adik untuk menjenguk si abang.

Imbas kembali…

“Apa? Maaflah mak. Angah dan adik tak mahu jenguk along. Muktamad!” suara Dizly memetir tatkala mendengar nama ‘along’ yang sudah memalukan mereka sekeluarga.

“Entah mak ni. Mak sedar tak yang along tu penagih dadah? Kenapa mak masih terfikirkan dia? Tak ingat apa along dah buat pada mak? Sudahlah mak lupakan along. Kami ni pun anak mak juga. Tapi tak adalah mak nak sibuk ambil berat tentang kami,” sinis Dynas anak bongsu Mak Timah.

“Astaghfirullah kenapa dengan kau dua orang ni? Walau apa pun dah jadi along tetap anak mak. Mak sayang anak-anak mak. Along dah berubah nak. Janganlah lagi kau dua orang menghukum dia,” pujuk Mak Timah dengan lembut.

“Ah! Kalau mak nak pergi, pergi sajalah. Malas kitorang nak jenguk along. Malu tahu tak… ada abang penagih macam tu?” Mak Timah hanya mampu menggeleng kepala mendengar kata kesat anaknya itu.

“Mak… kenapa ni? Mendung  je wajah mak.” Mak Timah tersedar dari lamunan tika mendengar suara si anak yang amat dirinduinya itu.

“Tak ada apalah along. Adik-adik sihat. Adik ada kelas tambahan. Adik kan dah nak periksa Pt3. Angah pula sekarang ni makin sibuk. Maklumlah adik kamu tu baru je masuk Universiti. Tu sebab dia orang tak dapat datang. Mereka rindukan along. Mereka kirim salam pada along,” bohong Mak Timah untuk menyedapkan hati Dino.

Dino hanya tersenyum biarpun dia tahu bahawa ibunya sedang berbohong. Dia tahu ibunya itu hanya mahu menjaga hatinya. Tanpa sedar dia melepaskan keluhan berat. Mak Timah yang menyedari perubahan pada wajah anaknya merasa bersalah.

“Mak Timah dah makan?” tanya Irham. Dapat dia melihat riak hampa yang terukir di wajah Dino. Kasihan hatinya melihat wajah hampa itu.

“Belum nak. Mak Timah ingat nak ajak Dino makan di luar. Tapi ada gotong royong pula,” ujar Mak Timah. Dino mengaru kepala yang tidak gatal.

“Tak apalah mak. Dino minta izin dengan Encik Zack untuk beri pelepasan sekejap. Lagipun Dino rindu mak sangat-sangat. Dah lama kan kita tak luangkan masa bersama,’ ujar Dino pula. Suaranya serak menahan pilu di hati.

Mak Timah turut merasa sebak. Pantas dia mendakap tubuh anaknya. Ya ALLAH, aku pohon agar KAU memberikan kekuatan buat anakku dalam mengharungi dugaan-MU ini. Terima kasih ya ALLAH kerana ENGKAU telah membuka pintu hati anakku untuk kembali bersujud pada-MU.

Usai mendapat keizinan Encik Zack, Dino melangkah menuju ke arah ibunya dengan rasa gembira yang tak terhingga. Melihat ibunya berbual mesra dengan Irham membuatkan dia merasa bersyukur.

“Berborak apa ni? Boleh along tahu?” tanya Dino setelah menghampiri Irham serta ibunya. Bahu Irham dipeluk erat.

“Tak ada apa. Mak awak kata kalau awak dah boleh keluar nanti mak awak ajak saya tinggal sekali. Tapi itulah saya segan,” ujar Irham merendah diri.

“Kenapa nak segan ni Irham? Awak kata dah anggap saya ni macam adik awak,” provok Dino. Jika dizinkan ALLAH memang itulah rancangannya. Kerana bersama Irham membuatkannya lebih dekat dengan Maha Pencipta.

“Tak apalah. Berikan saya masa untuk fikirkan perkara ni,” ujar Irham dengan lembut. Jika boleh dia tidak mahu menghampakan sahabatnya itu. Namun tatkala memikirkan tanggapan masyarat terhadap ‘bekas penagih’ seperti mereka membuatkan dia merasa takut untuk berhadapan dengan masyarakat.

Dino menjungkitkan bahu. Dia tahu apa yang berlegar di fikiran si sahabat. Kerana dia juga turut merasainya. Seandainya bisa, ingin saja dia menutup telinga dari mendengar segala caci maki orang. Ya ALLAH terlalu banyak khilafku ketika dahulu. Jahilnya aku! Teruknya aku! Ampunkanlah dosaku ya ALLAH.


SENYUMAN tidak lekang dari bibir tua Mak Timah. Gembira bukan kepalang hatinya mengingatkan anaknya, Dino. Perubahan demi perubahan anaknya amat menggembirakan hati tuanya. Lafaz syukur tidak henti beralun di bibir.

Dizly serta Dynas sedikit hairan melihat ibu mereka yang tidak sudah-sudah tersenyum. Dynas mencuit bahu Dizly.

“Angah pergilah tegur mak tu. Dari tadi lagi adik tengok mak asyik senyum-senyum ja.”

“Ish! Adik ni. Pergilah tegur. Apahal pula angah nak kena tegur? Tapi kan angah perasan sejak mak melawat ‘penagih’ tu mak dah lain macam,” ujar Dizly. Panggilan ‘penagih’ itu ditujukan kepada abangnya.

“Ha’ah. Adik perasan juga. Kalau kita cakap buruk-buruk pasal ‘penagih’ tu teruk kita dimarahnya. Bencilah adik. Nampak sangat yang mak tu jauh lebih sayangkan ‘penagih’ tu dari kita,” sungut Dynas masih mengawal nada suaranya.  Bimbang perbualan mereka menarik perhatian ibunya pula.

Mak Timah yang mendengar suara sok sek sok sek itu segera menoleh ke belakang. Senyuman manis diberikan pada kedua putera dan puterinya. Dynas dan Dizly segera mendekati si ibu. Mereka mengambil tempat berhadapan dengan si ibu.

“Err… adik tengok mak asyik senyum je kenapa?” soal Dynas.

“Yalah. Angah tengok sejak mak balik dari jenguk ‘penagih’ tu mak asyik senyum saja. Kenapa? Apa yang menggembirakan sangat sampai mak tersengih-sengih? Apa yang ‘penagih’ tu buat?” tanya Dizly sedikit sinis.

“Cukup! Jangan kamu nak menghina lagi abang kamu. Mak tak suka!” tegas Mak Timah. Mati terus senyumannya apabila mendengar pertanyaan sinis Dizly. Hatinya berdongkol geram. Sebal hatinya kerana anak-anaknya itu tetap berkeras tidak mahu memaafkan si abang.

“Apa yang mak banggakan sangat si ‘penagih’ tu? Kalau kami cakap buruk-buruk tentang ‘penagih’ tu cepat benar mak melenting. Kami ni bukan anak mak ke? Yang mak nak sangat kami maafkan dia tu kenapa?” Dizly masih tidak berpuas hati.

“Cukup mak cakap. Seburuk-buruk manapun Dino, dia tetap abang kamu!” tegas Mak Timah sekali lagi. Lantas dia bingkas bangkit lalu meninggalkan anak-anaknya itu.

“Kau tengoklah tu dik. sikit-sikit nak bela ‘penagih’ tu. Bencilah angah,” bentak Dizly geram.

“Entah mak tu. Menyakitkan hati betul,” rungut Dynas pula.

“Adik…” meleret suara Dizly memanggil adiknya. Tangan Dynas diraih lantas dibawa ke bibir. Dizly mengelus lembut pipi Dynas. Rambut ikal mayang Dynas dibelainya.

Dynas tersenyum manis. Dia tahu apa yang ingin Dizly ucapkan. Kerana dia juga turut merasainya. Sungguh dia merindui tubuh hangat abangnya itu.

Dengan segera dia menarik tangan Dizly untuk ke kamarnya. Sekali lagi mereka melakukan perbuatan terkutuk itu. Bila syaitan laknatullah menguasai diri, PAHALA dan DOSA ditolak ke tepi. Langsung tidak tahu membezakan antara HALAL dan HARAM.

Firman ALLAH :
Dan janganlah kamu mendekati zina,
sesungguhnya zina itu adalah suatu
perbuatan yang keji,
dan suatu jalan yang buruk [Surah Al-Israa’ : 32]

DIA MENANGIS tersedu-sedan. Kini setelah setahun dia menghuni Pusat Pemulihan Sinar Harapan, dia akhirnya dibebaskan. Dengan satu tekad dan satu azam dia berjanji bahawa dia tidak akan sesekali menoleh ke belakang lagi. Irham di sisi direnung sekilas. Mereka berbalas pandang.

“Awak dah bersedia untuk mendengar segala hinaan masyarakat luar?” soal Irham dengan perlahan. Di atas permintaan Dino, Irham akhirnya mengambil keputusan ini.  Pada mulanya Irham berat hati untuk meninggalkan pusat pemulihan itu. Namun setelah difikir-fikir dia akhirnya mengambil keputusan. Dan kini dia di sisi Dino. Keputusannya muktamad. Dia mahu menemani Dino yang sudah dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya di samping insan senasib dengannya.

“Saya sudah lama bersedia. Dan saya berharap agar awak sentiasa di sisi saya. Saya tak kuat tanpa awak dan ibu saya. Ham… mulai hari ni saya adik awak. Dan awak abang saya. Andai kata awak disakiti saya juga akan turut merasa sakitnya,” ujar Dino seikhlas hatinya.

Mengalir airmata Irham tatkala mendengar ucapan ikhlas Dino itu. Mereka saling berpelukan. Airmata kian mengalir deras apabila melihat wajah-wajah sendu penghuni yang masih berada di pusat pemulihan itu. Sayu hati Dino untuk meninggalkan sahabat-sahabatnya. Namun dia berjanji untuk sentiasa mengunjungi mereka. Biar apa pun yang jadi mereka tetap bersahabat. Itu janjinya!

Sepanjang perjalanan pulang, Dino tidak banyak bersuara. Dia lebih banyak menumpukan perhatian pada sekeliling kampung. Terlalu banyak perubahan yang berlaku sepanjang ketiadaannya. Airmatanya mengalir laju tatkala mata disapa kebun arwah ayahnya. Disitulah tempatnya melepaskan gian. Disitu jugalah dia pernah membelasah ayahnya hanya semata-mata demi wang. Kekesalan kian membelit dirinya.

‘Ampunkan Dino abah. Ampunkan Dino. Dino terlalu banyak dosa pada abah. Dino anak yang jahat. Dino anak yang kejam. Ya ALLAH hapuskanlah khilafku selama ini,’ doa Dino di dalam hati.

“Cantik kampung awak. Kampung saya pun cantik. Tapi sayang… dah tiada sesiapa yang menanti kepulangan saya. Saya anak yang hina Dino. Awak masih ada kesempatan. Awak masih punya ibu untuk bermanja. Sedangkan saya tak ada sesiapa,” luah Irham seraya melampiaskan kesedihan yang bermukim di dada.

“Awak ada saya Ham. Saya adik awak sampai bila-bila,” balas Dino seraya tersenyum.

“Terima kasih Dino. Kamu memang baik. Abang sayangkan kamu,” ujar Irham lantas dia menarik Dino ke dalam dakapannya.

Pak Cik Mat yang sedang memandu teksi turut merasa sebak melihat situasi itu. Dia menyeka airmata yang mengalir di kelopak matanya. Sebak apabila melihat perubahan Dino itu. Jika dahulu Dino sering saja mendatangkan masalah pada penghuni kampung. Namun kini dia berharap agar masyarakat kampung bisa menerima Dino. Dia yakin benar bahawa Dino sudah jauh berubah.

“Dino kamu kalau nak kerja pak cik boleh carikan. Kebetulan Pak Cik Hasnol kamu perlukan pekerja untuk tolong dia di kedai runcit tu. Bolehlah kamu dengan kawan kamu kerja dengan dia. Dapatlah juga duit poket untuk sara keluarga kamu nanti,” celah Pak Cik Mat tiba-tiba.

“Boleh ke pak cik? Maksud saya, nak ke dia terima pekerja bekas penagih macam saya ni?” soal Dino merendah diri.

“Ish! Kamu ni nak buat apalah dia nak sisihkan kamu? Lagipun pak cik yakin kamu dah berubah. Setiap orang ada melakukan kesilapan. Hanya tinggal pada kita untuk membetulkan kesilapan tu atau masih mahu berada di takuk lama. Kamu jangan khuatir. Pak Cik Hasnol kamu akan terima kamu bekerja.”

“Nanti saya fikirkan. Terima kasih pak cik atas nasihatnya,” ujar Dino bersopan.


MAK TIMAH mengucup sayang ubun-ubun anaknya itu. Gembira bukan kepalang hatinya tatkala mendapat panggilan bahawa anaknya itu sudah diberi kebebasan untuk keluar dari pusat pemulihan. Dia menyeka airmata dengan hujung baju kurung kedahnya.

“Kenapa along tak cakap nak balik? Kalau tak boleh mak jemput kamu. Mak rindu dengan anak mak.”

“Along pun rindukan mak. Along tak mahu susahkan mak. Mak dah terlalu banyak berkorban untuk along. Mak… boleh kan kalau Irham duduk bersama kita. Lagipun Abang Ham dah tak ada sesiapa mak.”

“Boleh sayang. Mak izinkan,” ujar Mak Timah lantas dia menarik tubuh Irham serta Dino ke dalam pelukan.

“Anak-anak mak nak makan? Boleh mak sediakan,” ujar Mak Timah setelah meleraikan pelukan.

“Tak apalah mak. Ham dengan Dino nak ke kedai runcit Pak Cik Hasnol. Kami nak minta kerja di sana. Moga-moga adalah rezeki kami di sana,” ujar Irham menolak lembut pelawaan ibu Dino.

“Baiklah kalau macam tu. Mak doakan anak-anak mak dapat kerja tu.”

Usai bersalam Dino dan Irham menaiki motor untuk ke kedai runcit Pak Cik Hasnol. Dino melemparkan senyuman manis tatkala matanya menyapa beberapa orang jiran tetangga yang dikenalinya. Namun senyumannya hanya dipandang sepi. Malahan jelingan tajam yang diterimanya.Senyumannya mati tiba-tiba.

‘Ya ALLLAH aku tahu aku terlalu hina suatu ketika dulu. Dan aku redha andainya ini semua sebagai balasan di atas khilafku. Cuma satu ku pohon ya ALLAH. Ampunkanlah aku. Ampunkanlah segala khilafku. Bukakanlah mata hati penduduk kampung untuk menerimaku kembali ya RABB,’ doa Dino tidak putus-putus.

“Cekalkan hati dik. Abang tahu adik abang ni kuat. Tak mengapa andainya masyarakat memandang kita hina. Kerana ALLAH S.W.T tidak pernah memandang masa silam kita. Yang ALLAH S.W.T pandang hanyalah masa hadapan kita. Jadi kita tak usah peduli pandangan orang. Asalkan ALLAH tahu siapa diri kita,” nasihat Irham tulus dan ikhlas.

Dino mematikan enjin motor cabuknya. Lantas dia berselawat sebelum melangkah kaki masuk ke dalam gerai runcit itu. Irham turut berselawat ke atas nabi junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk berselawat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Eh kamu ni Dino ya? Anak Mak Timah? Bila kamu keluar dari pusat?” soal Pak Cik Hasnol ramah.

“Baru saja pak cik. Errr… Dino dengan kawan datang ni nak tanya ada kerja kosong tak dekat sini?” tanya Dino terus saja ke akar umbi hajatnya ke kedai runcit tersebut.

“Ada. Kebetulan memang pak cik perlukan pekerja. Kamu tahu sajalah mana ada orang yang sudi bekerja dengan pak cik ni. Pak cik juga seperti kamu. Bekas penagih,” bisik Pak Cik Hasnol di telinga Dino.

Dino tergamam demi saja mendengar kata-kata lelaki lingkungan 50-an itu.

“Sabarlah pak cik. Sudah nasib kita untuk terus dipandang hina oleh masyarakat. La Tahzan pak cik. Kerana ALLAH sentiasa bersama orang yang bersabar. Sabar kan separuh dari iman. Daripada kita melayan orang yang bercakap-cakap buruk tentang kita, adalah lebih baik seandainya kita meningkatkan iman. Dekatkan diri dengan ALLAH, banyakkan berzikir, berselawat insya-ALLAH hati kita akan merasa tenang,” nasihat Irham tulus dari lubuk hatinya.

“Terima kasih anak muda. Kamu penuh taqwa di dalam dada. Pak cik kagum dengan kamu. Siapa nama kamu nak?” tanya Pak Cik Hasnol seraya memaut erat bahu Irham.

“Irham pak cik,” balas Irham dengan sopan.

“Baiklah kalau macam tu kamu berdua diterima bekerja. Hari minggu kedai akan tutup. Tapi tengok jugalah. Andai kata ada orang datang untuk membeli barang, pak cik akan hubungi salah seorang dari kamu untuk masuk kerja. Kira macam kerja lebih masa. Setuju?”

Serentak Dino dan Irham menganggukkan kepalanya.

“Kalau macam tu bolehlah mulakan kerja sekarang. Dino, kamu pergi susun barang dekat rak hujung sana tu. Tadi pak cik tak sempat nak susun. Maklumlah dah tua ni. tak boleh nak buat kerja berat sangat. Cepat saja penatnya,” seloroh Pak Cik Hasnol lantas dia ketawa kecil. Dino hanya tersenyum mendengar gurauan Pak Cik Hasnol itu.

“Baiklah pak cik.”

“Ha kamu Irham jagakan kaunter sekejap ya.”

Irham menganggukkan kepala tanda mengerti. Pak Cik Hasnol berlalu pergi meninggalkan Irham. Irham mengucap syukur yang tidak terhingga ke atas ILLAHI. Sungguh dia gembira tatkala dirinya dan juga Dino diterima bekerja. Sekurang-kurangnya dapatlah juga dia duit poket. Selain itu dia juga berhasrat untuk menghulurkan sedikit wang sakunya kepada ibu Dino. Segan juga dirinya hidup menumpang tanpa menghulurkan sedikit sumbangan.



DYNAS SERTA DIZLY menjeling tajam wajah si abang. Di dalam hati masing-masing menyumpah seranah lelaki yang sudah menyebabkan kematian bapa mereka. Dino melemparkan senyuman manis buat adik-adiknya. Langsung tidak dipedulikan riak kebencian yang terpancar di wajah adik-adiknya.

“Mari angah, adik kita makan,” pelawa Dino bersama senyuman lebar.

“Huh! Kau nak ajak aku makan? Tak usahlah. Aku jijik, geli nak makan bersama dengan bekas penagih macam kau. Dasar tak sedar diri. Kenapa kau balik ke rumah ni? Kami tak perlukan kau langsung di rumah ni!” bentak Dizly tanpa sedikitpun memandang wajah abangnya.

“Entah. Menyemak betul. Along tak ada dalam rumah ni, hidup kami dah aman tahu? Benci!” cemuh Dynas pula. Senyuman manis masih terukir di bibir Dino. Sedikitpun dia tidak menyimpan di dalam hati. Biarlah, dia rela diherdik, dihina asalkan sebuah kemaafan diberikan kepadanya.

“Along rindukan adik-adik along. Dah lama sangat kita tak makan bersama. Marilah, along masak hari ni tahu? Sedap ni,” ujar Dino masih juga berlembut.

“Pergi jalanlah dengan masakan kau tu. Tak sedar diri. Disebabkan kau abah meninggal. Dan disebabkan kau jugalah kami diejek dan dipulaukan oleh orang kampung. Kami malu. Malu ada abang penagih macam kau!” bentak Dizly sekuat hati.

“Maafkan along. Along tahu along bersalah. Along dah banyak buat onar dalam keluarga kita. Tapi… tak boleh ke angah dan adik beri along satu lagi peluang? Peluang untuk along tebus balik kesalahan along?”

“Peluang? Takkan pernah ada peluang untuk kau. Dan kau tak layak untuk dimaafkan. Kau faham? Sudahlah dik, dari layan bekas penagih ni lebih baik kita ‘study’.”

Dynas merangkul erat pinggang Dizly. Dia ingin melempiaskan nafsu yang kian bergolak di dalam dada. Dino hanya mampu beristighfar di dalam hati. Sempat juga dia bermohon agar diberi kesempatan untuk dirinya berbaik semula dengan adik-adiknya. Sungguh dia tidak tega untuk terus dibenci oleh darah dagingnya sendiri.


SEDANG DINO mengangkat tong gas untuk disusun, tiba-tiba telinganya menangkap suara orang yang sedang mengutuk, mengata tentang dirinya. Dia cuba menyabarkan hati. Senyuman kekal terukir di bibir. Sesungguhnya dia tidak sanggup untuk terus mendengar caci maki masyarakat kampung, namun pesanan si ibu senantiasa tersemat di mindanya.

“Satu pesan mak, kalau along ada mendengar mulut orang kampung bercakap tentang along… diamkan saja. Jangan pernah along berlawan kata dengan mereka. Biarkanlah apa yang mahu mereka katakan. Kerana mak tahu along bukan lagi penagih dadah seperti dahulu. Mak yang lahirkan along. Mak tahu anak mak dah berubah. Ingat ya sayang. Diamkan saja apa kata mereka. Biarlah mereka dengan tanggapan mereka. Asalkan along tak buat apa yang diperkatakan,” nasihat Mak Timah.

“Hai Joyah, nampaknya kampung kita ni bertambah lagi la bekas penagih. Haih! Aku rasa kampung Pening Lalat ni macam dah tak selamat je. Macam dah jadi tempat berkumpul sampah masyarakat saja,” cemuh Mak Senah sambil mata menjeling ke arah Dino.

“Itulah yang aku risaukan ni Senah. Tu yang jaga kaunter tu. Pun nampak macam bekas penagih saja. Haih! Dino ni kalau nak balik kampung tu kalau boleh semua kawan-kawan penagih nak dibawa baliknya. Huh!”

“Betul tu. Ish, kita ni kena berjaga-jaga sikit sekarang ni Joyah.”

Pak Cik Hasnol yang kebetulan terdengar perbualan itu menggelengkan kepalanya. Tidak tega hatinya untuk terus mendengar hinaan demi hinaan itu. Biarpun bukan dirinya yang dihina namun entah mengapa hatinya merasa terpanggil untuk ‘menuntut bela’ demi Dino.

Baru saja Pak Cik Hasnol ingin mendekati dua insan tersebut, tiba-tiba langkahnya dihalang. Dino menggelengkan kepalanya.

“Biar sajalah pak cik. Esok-esok kalau mereka penat, mereka berhentilah dari bercakap tentang saya.” Lembut saja suara yang dituturkan Dino.

“Tapi Dino…”

“Biar saja pak cik. Lebih baik saya tingkatkan kesabaran dan juga iman dari melayan perkara tidak berfaedah,” tutur Dino penuh berhemah.

“”Apa maksud kamu Senah?”

“Yalah, sekarang ni bekas penagih dah semakin ramai. Jadinya kita ni kena berhati-hati. Takutlah kalau-kalau rumah kita diceroboh orang nanti. Ha… selama ni kampung kita aman saja kan? Manalah tahu kalau tiba-tiba rumah kau atau rumah sesiapa sajalah dipecah masuk. Tak ada orang lain dah Joyah. Mesti bekas penagih la tu,” ujar Mak Senah dengan suara yang sengaja dilantangkan.

Dino menutupkan matanya. Dia berzikir untuk menenangkan hatinya. Tergendala kerjanya itu demi saja mendengar hinaan demi hinaan itu. Sedang dia menenangkan diri Irham menghampiri seraya berbisik.

“Zikirlah sehingga hatimu merasa tenang. Mohonlah agar DIA memberikanmu kesabaran demi menghadapi masyarakat yang menghinamu. Tabahkan hatimu wahai adikku. Abang tahu bahawa kamu kuat.”

Dino memeluk erat bahu Irham. Sungguh dia tidak mampu untuk bertenang andainya tiada nasihat demi nasihat yang terpacul dari ulas bibir Irham. Rasa syukur yang tidak terhingga dia ucapkan buat ibunya. Jika bukan kerana ibunya melaporkan dia kepada pihak berkuasa sudah pasti dirinya masih bergelar penagih dadah.

Sempat mata Mak Joyah menjeling Dino. Sekali imbas kelihatan seperti seorang ustaz saja. Dengan penampilannya bersahaja, bersongkok bagai. Huh! Saja nak tunjuk alimlah tu, desisnya di dalam hati.

“Betul juga kamu tu. Mulai hari ni kita kena hati-hatilah ya Senah,” ujar Mak Joyah pula. Kembang kempis hidung Pak Cik Hasnol mendengar perbualan demi perbualan itu. Pantas dia menghayun langkah. Dino hanya membiarkan saja. Tidak sempat dirinya menghalang langkah Pak Cik Hasnol yang semakin laju itu.

“Kamu berdua ni tak sudah-sudah bergosip. Haih! Inilah yang menyebabkan neraka dipenuhi dengan kaum Hawa. Nak tahu kenapa? Tu disebabkan mulut kamu. Mengumpat, mengata sana sini. Tak baik tahu? Kan ke lebih baik kalau kamu gunakan mulut tu untuk berzikir, berisghfar. Ada juga faedahnya,” bidas Pak Cik Hasnol selamba.

“Eh Abang Hasnol ni nak meradang kenapa?” balas Mak Senah kurang senang.

“Aku tak meradang Senah. Cuma kamu tu bercakap seolah-olah Dino dengan Irham ada niat nak mengkucar-kacirkan kampung kita ni.”

Mak Senah mencebir bibir. Berang apabila kata-katanya dibangkang oleh Pak Cik Hasnol. Dia menjeling sekilas wajah Pak Cik Hasnol yang sedang berdiri di hadapannya.

“Ala, Abang Hasnol ni nak membela pula geng dia. Huh! Lama-lama kampung kita ni jadi tempat berkumpul bekas-bekas penagih pula,” cemuh Joyah sambil mata menjeling tajam wajah Dino serta Irham.

“Astaghfirullahalazim, kamu jangan ikut sedap mulut bercakap Joyah,” ujar Pak Cik Hasnol sembari mengurut dadanya.

Dino segera menghampiri Pak Cik Hasnol. Dia memandang tepat ke wajah Mak Senah serta Mak Joyah. Hingga terdiam kedua-dua wanita itu.

“Saya pernah buat silap. Saya pernah buat khilaf. Saya adalah hamba-NYA yang penuh noda. Saya terlalu banyak dosa. Disebabkan saya ayah meninggal. Dan disebabkan saya mak dicemuh, dihina oleh orang kampung. Tapi satu saja Mak Senah dan Mak Joyah harus ingat. Dunia ini bulat. Roda sentiasa berputar. Janganlah kita menghina orang lain, kerana suatu hari ALLAH akan memberi kita rasa apa yang diperkatakan oleh mulut kita. Andai saya ada salah dengan kalian, ampunkanlah saya. Tapi tolong janganlah lagi menghina kami bekas penagih,” ujar Dino sehabis lembut.

“Huh! Kau tu anak tak kenang budi. Sepatutnya kau dihukum mati saja. Barulah hidup tak menyusahkan orang. Ayah kau tu bukan main sayangkan kau. Tapi demi wang… kau sanggup menderhaka dan mencederakan ayah kau hingga meninggal orang tua tu. Anak jenis apa kau ha?” herdik Mak Senah.

“Astaghfirullahalazim, cukup Senah. Kamu bercakap macam orang tak ada iman. Khilaf Dino biar sajalah menjadi urusannya dengan ALLAH. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W mengampunkan umat. Apatah lagi kamu insan biasa. Apa hak kamu untuk menghukum insan hina seperti kami?

“Aku dah bertaubat. Aku sedar kekhilafan aku. Begitu juga Dino dan Irham. Mereka juga sudah bertaubat. Janganlah lagi kamu menghina mereka. Janganlah kamu membuka aib orang. Kelak aib kamu akan dibuka oleh ALLAH S.W.T,” nasihat Pak Cik Hasnol lembut.

“Ah! Sudahlah Bang Hasnol. Tak perlulah kau jadi jadi ustaz dekat sini. Nak tegur orang tapi diri sendiri pun masih banyak kurangnya. Huh! Marilah Joyah kita pulang saja. Panas pula rasa berdepan dengan sampah masyarakat macam mereka ni,” cemuh Mak Senah sebelum berlalu. Hilang terus moodnya untuk membeli barang keperluan harian tatkala bertemu muka dengan Dino.

Irham berisghfar panjang mendengar nada angkuh Mak Senah itu. Sungguh dia merasa kasihan apabila Dino dan Pak Cik Hasnol terus-terusan menjadi bahan cemuhan. Dia tidak kisah andainya dirinya menjadi cemuhan kerana dia bukanlah berasal dari Kampung Pening Lalat. Namun telinganya terasa bagaikan bernanah setiap kali Dino diherdik dan diicemuh oleh masyarakat. Sayu hatinya melihat wajah Dino tatkala dirinya dikeji sedemikian rupa.

“Sabar ya pak cik, Dino. Anggap sajalah ini dugaan dari ALLAH. Bukan mudah untuk menjadi seorang hamba yang soleh. Tapi andai dugaan sebegini saja kita tak mampu tempuh bagaimana pula dengan dugaan yang lebih berat dari ini bukan?”

Barangsiapa yang berusaha untuk sabar,
Maka ALLAH akan
Menjadikannya seorang yang sabar…”
[Hadis Riwayat Bukhari]

“Pak cik tak ada apa-apa. Tapi Dino… pak cik kesal dengan masyarakat kampung. Mereka begitu mudah untuk menghukum. Sedangkan mereka tidak tahu tentang perkara sebenar. Asalkan bekas penagih saja pasti mereka akan berburuk sangka. Astaghfirullahalazim, ampunkanlah segala khilaf kami ya RABB. Sesungguhnya hanya pada-MU tempat kami meminta, ampunkan kami ya ALLAH yang sering melupakan-MU ketika dahulu. Jadikanlah kami hamba-MU yang selalu bertaubat, aamiin,” doa Pak Cik Hasnol tulus dari lubuk hatinya. Dino dan Irham turut mengaminkan doa tersebut.

Sekilas Irham melihat wajah Dino. Dia tersenyum tatkala riak tenang terpamer di wajah sahabatnya itu. Nampaknya Dino sudah berjaya untuk mengawal emosinya. Alhamdulillah.

Orang yang gagah perkasa
Tidak diukur dengan kemenangan dalam pertarungan,
Tetapi kekuatan sebenar ialah
Orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.”
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

“Dino tak ada apa-apa. Usahlah pak cik bimbang. In shaa ALLAH Dino akan membiasakan diri untuk mendengar segala cemuhan orang kampung. Tak mengapalah pak cik, Dino redha untuk terus disakiti… kerana Dino tahu ALLAH S.W.T telah menjanjikan sesuatu buat Dino andainya Dino terus bersabar. Insya-ALLAH.”

Tergamam Irham mendengar tutur kata Dino itu. Masya-ALLAH tabahnya hatimu wahai sahabat. Ya RABB cekalkanlah hati sahabatku ini. Jadikanlah dia hamba-MU yang selalu bertaubat. Terimalah segala amalannya. Ampunkanlah segala kekhilafannya ya RABB.
 

ini duniaku Template by Ipietoon Cute Blog Design