ASSALAMUALAIKUM, maaf lama menyepi. sebelum kau orang baca tu aku nak minta maaflah kalau n3 kali ni kurang menepati citarasa kau orang. ini kisah masyarakat. hope kau orang sudilah baca n komen ya. insya-ALLAH. yg baik dtgnya dari ALLAH. yg buruk dtgnya dari aku....
================
KU MENATAP dalam kelam
Tiada yang bisa kulihat
Selain hanya nama-MU, ya ALLAH
Tiada yang bisa kulihat
Selain hanya nama-MU, ya ALLAH
Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari
Segala fitnah
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari
Segala fitnah
Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-MU yang selalu bertaubat
Ampuniku ya ALLAH
Yang sering melupakan-MU
Saat Kau limpahkan karunia-MU
Dalam sunyi aku bersujud…
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-MU yang selalu bertaubat
Ampuniku ya ALLAH
Yang sering melupakan-MU
Saat Kau limpahkan karunia-MU
Dalam sunyi aku bersujud…
Pusat Pemulihan Sinar Harapan
DINO menongkat dagu sambil merenung nasib diri. Hatinya merasa sebak tatkala
lagu Padamu Aku Bersujud itu diputarkan di corong radio. Airmatanya bergenang
di kelopak mata. Kekesalan mula membelit diri. Masih adakah sinar harapan buat
insan sekotor dirinya? Persoalan yang tidak mampu dirungkainya itu tidak
sudah-sudah menghantui diri. Sekilas wajah ibu, ayah serta adik-adiknya terlayar
di mata. Wajah kebencian adik, wajah sayu si ibu dan wajah hampa si ayah
menghimpit dirinya. Kekesalan kian menebal di dalam diri.
“Ya ALLAH, sesungguhnya aku hamba-MU yang hina.
Ampunkanlah dosaku ya ALLAH. Andai dapat aku memutarkan masa, aku ingin menjadi
seperti dahulu. Dimana waktu aku masih kecil. Taat pada ibu bapaku.
“Ya ALLAH aku pohon hapuskanlah dosa-dosaku. Sesungguhnya aku
takut untuk ke neraka-MU. Namun ya ALLAH apakah aku hamba-MU yang keji lagi
hina ini layak untuk ke syurga-MU? Dan adakah kemafaan buatku kerana telah
menyakiti hati ibu yang telah penat lelah menjaga dan melahirkanku? Mak… Dino
rindukan mak,” rintih Dino lantas dia menangis menangisi kekhilafan diri.
Airmata tidak pernah jemu menemaninya sepanjang
dia berada di Pusat Pemulihan Sinar Harapan itu. Sejak hari pertama kakinya
melangkah ke pusat pemulihan itu hatinya dirundung hiba. Sebak hatinya tika
mengingatkan dosa-dosa silam.
Imbas Kembali…
MAK TIMAH kehairanan melihat tingkah si anak yang seakan menahan gian itu.
Langkah diatur mendekati si anak. Disentuh lembut belakang badan anaknya. Namun
dengan kasar tangannya ditolak. Dino merenung tajam si ibu.
‘Menggangu betul orang tua ni. Aku dah la tengah
‘gian’. Lama tak dapat barang ni. Dia pula sibuk je nak ganggu. Huh!
Menyerabutkan,,’ gumam Dino di dalam hati.
“Kamu kenapa ni along? Kamu sakit ke? Atau ka…
kamu ada ambil ‘benda haram’ tu?” soal Mak Timah meminta kepastian.
Menggigil seluruh tubuh Dino tatkala mendengar
pertanyaan demi pertanyaan itu. Bibirnya kelihatan sedikit membiru.
Mak Timah
perasan akan perubahan anaknya semenjak dua tiga bulan lagi. Jika dahulu
anaknya itu bertubuh agak sasa, kini anaknya kurus melidi. Tidak ubah seperti
jerangkung saja. Hati tua mana yang tidak risau. Apatah lagi kini isu ‘dadah’
menjadi topik hangat di dada akhbar. Ya ALLAH lindungilah anakku dari segala
apa yang aku fikirkan selama ini.
“Along cuba cakap dekat mak…” pantas Dino
mencaras kata-kata ibunya. Telinga terasa bingit tatkala mendengar suara si
ibu.
“Diamlah orang tua! Memekak je!” jerkah Dino. Dia
duduk memeluk lututnya. Cuba menahan rasa gian yang semakin menjadi-jadi.
![]() |
| MAK TIMAH |
Mak Timah mengurut dadanya. Dia berisghfar
panjang. Dada terasa sendat apabila mendengar jerkahan anak yang selama ini
ditatang bagai minyak yang penuh.
“Astaghfirullahalazim. Kamu kenapa ni nak?”
“Aku cakap diam. Diamlah! Kau pekak ke? Kau bagi
aku duit. Aku nak duit sekarang!” Dino bersuara sedikit meninggi. Giannya tidak
dapat dibendung lagi. Hingga dosa dan pahala juga ditolak ke tepi.
“Mana mak nak ada duit lagi along. Yang ada pun
hanya mampu tampung kita anak beranak untuk makan saja. Geran tanah kita pun
along dah jual… ”
Dino meraup rambutnya dengan kasar. Tubuhnya kian
menggigil. Menahan amarah dan juga menahan rasa ‘giannya’ itu.
“Aku tak kira! Aku nak duit. Bagi aku duit
sekarang! Aku dah lama bertahan ni. Kau bagi aku duitlah!”
Mak Timah menahan rasa sebak yang bertandang di
hati. Sedih apabila anak yang selama ini taat, patuh segala arahannya menengkingnya
sedemikian rupa.
“Mak tak ada du…” pantas Dino mendekati ibunya.
Menggeletar tubuh Mak Timah melihat wajah anaknya yang seakan ingin menerkamnya
itu.
“Kau tak mahu bagi duit? Tak apa. Tapi bagi aku
barang kemas kau tu. Cepat!” gesa Dino.
“Jangan along. Ni satu-satunya harta pusaka yang
mak miliki.”
Dino berang mendengar kata-kata ibunya. Tangannya
mencapai rantai yang tergantung di leher ibunya. Mak Timah cuba bergelut untuk
menyelamatkan satu-satunya harta pusaka yang dimilikinya. Namun kudratnya tidaklah
sekuat mana. Tubuh tua itu terjelepok jatuh ke lantai.
Dino pula semakin rakus menyakiti tubuh tua itu. Setelah dicapainya
rantai leher itu dia menjadi semakin agresif. Lantas tanpa akal fikiran yang
waras, dia menyepak terajang tubuh tua itu hingga terkulai layu. Kerana DADAH
dia sanggup menyakiti insan yang telah melahirkannya. Kerana DADAH jugalah dia hilang
pertimbangan, hilang pedoman. Dunianya kini hanya dadah semata-mata.
“Dan janganlah
kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah
Al-Baqarah : 195)
Langsung
tidak terdetik di hatinya merasa kasihan apabila melihat darah yang membuak
keluar di dahi serta hidung si ibu. Dengan langkah terhuyung-hayang dia
meninggalkan si ibu yang merayu meminta pertolongan.
“Along…
tolong mak nak. Along,” rayu si ibu. Namun rayuannya sedikit pun tidak menarik
perhatian si anak yang semakin jauh dari pandangan.
Prang!
Dino
tersentak dari lamunan tatkala cawan yang berada di meja kopi itu jatuh
berderai. Dia menyeka airmata yang tidak silu mengalir di pipi. Tatkala
teringatkan ibunya pasti airmata akan mengalir bersama sebuah penyesalan.
“Dino
buat apa kat sini? Kenapa duduk seorang?” Irham salah seorang ahli pusat
pemulihan itu menegurnya.
![]() |
| IRHAM |
“Tak ada apa Ham. Cuma… saya teringat kisah
silam. Saya menyesal. Menyesal kerana ambil jalan singkat. Saya rasa hina
sangat. Masyarakat pasti akan memandang serong orang yang tak berguna seperti
saya. Saya malu dengan diri saya sendiri. Saya terlalu kotor untuk pohon
keampunan ALLAH,” luah Dino. Suaranya kedengaran hiba. Tangisannya juga semakin
berlagu sendu.
Irham
melabuhkan punggung di sisi Dino. Lantas tubuh itu didakapnya.
“ALLAH
maha pengampun Dino. Saya juga kotor dan jijik. Tapi ALLAH memberikan saya
peluang kedua untuk bertaubat. Pada pandangan manusia itu semua tidak penting.
Tapi pandangan ALLAH itulah yang lebih penting. Dino… saya tahu awak sudah
insaf. Dan saya percaya bahawa ALLAH masih menyayangi awak. Disebabkan itulah
awak berada di sini. Untuk membersihkan diri awak dari terus tercemar dengan
najis dadah.”
Tangisan
mereka bersatu. Hanya mereka saja yang tahu peritnya sebuah kehidupan bergelar
seorang ‘bekas penagih’.
“Bagaimana
dengan mak saya? Apakah dia akan mengampunkan dosa saya?” tanya Dino persis
anak kecil. Pelukan dileraikan. Matanya jelas berkaca.
“Insya-ALLAH.
Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W pun mengampunkan umatnya. Apatah lagi seorang ibu
yang melahirkan awak.”
“Tapi
saya anak derhaka. Saya penyebab ayah saya meninggal. Saya juga dah sakiti ibu
saya. Apakah saya layak untuk dimaafkan?”
“Dino…
tiada kata yang mampu saya ucapkan melainkan bersabar. Ini semua ujian ALLAH.
Saya percaya ibu awak pasti akan mengampuni segala khilaf awak. Soal ayah awak,
itu semua bukan salah awak. Semua itu takdir. Dan awak harus redhakannya.”
Dino
meloret senyum. Terasa hatinya sedikit damai setelah mendengar bicara Irham
itu. Di Pusat Pemulihan Sinar Harapan itulah dia belajar bagaimana untuk
mengawal api kemarahan. Dia juga sudah kembali sujud menyembah ILLAHI. Dia
mengucap syukur. Jika bukan ibunya menelefon pihak polis sudah pasti dirinya
terus terjebak dengan najis dadah.
Imbas
kembali…
“KENAPA kau telefon polis ha orang tua? Kau memang nak tengok aku
meringkuk dalam penjara ke hah?” tengking Dino.
Dia
merasa berang apabila dicekup oleh pihak berkuasa tika dia sedang asyik dengan
dunianya itu. Ingin saja dia membelasah insan yang telah menyerahkannya kepada
pihak berkuasa itu. Namun belum sempat dia berbuat apa-apa tiba-tiba tangannya
digari. Lantas dia diheret keluar dari ‘sarang’ dimana tempatnya melepaskan
gian selama ini.
“Mak
tak sanggup nak tengok kau terus-terusan menyakiti tubuh kau nak. Mak buat ni
demi kebaikan kau sendiri. Mak harap kau berubahlah nak. Mak sayangkan kau,”
kata Mak Timah sambil menahan sendu. Bukan dia tidak sayang. Namun ini juga
demi kebaikan anaknya. disebabkan itulah dia tegar menghubungi pihak PDRM demi
menangkap anaknya dari terus melakukan jenayah.
“Ah!
Kau memang tak guna!” herdik Dino lantas menyepak tubuh Mak Timah.
“Hoi!
Jangan kurang ajar ya. Ingat sikit… ini ibu yang melahirkan kau!” jerkah Dynas.
Berang hatinya tatkala melihat sikap kurang ajar abangnya itu. Huh! Jika
diturutkan hati ingin saja dia mencakar wajah si abang. Dasar anak tak kenang
diuntung.
“Along!
Jaga sikit mulut along tu. Along patutnya berterima kasih pada mak. Bukannya
memaki hamun mak. Anak jenis along ni ha? Tak kenang budi!” herdik Dizly adik
keduanya itu.
“Ah!
Kau dengan orang tua ni sama je.” Dino berkata sebelum dia akhirnya diheret
masuk ke dalam kereta polis itu.
“Aku
tahu la nak masuk sendiri. Tak payah nak paksa-paksa aku la bodoh!” jerkah Dino
pada pegawai polis yang bertugas.
Jatuh
lagi airmata lelakinya tatkala kisah itu berlegar di ingatan. Dia menoleh ke
sisi. Ternyata Irham masih setia menemaninya di situ.
“Kisah
silam yang pahit memang sukar untuk kita lupakan. Saya faham perasaan awak
Dino. Saya juga pernah alaminya. Jangan lupa ya bahawa saya dulu yang menginap
pusat pemulihan ni,” seloroh Irham seraya ketawa kecil. Dino hanya tersenyum.
“Dah
masuk waktu asar. Marilah kita solat berjemaah. Lepas asar nanti ada gotong
royong bersihkan surau pula,” ajak Irham seraya menarik tangan Dino.
“Kalau
saya nak jadi imam boleh?”
Irham
terpana demi sahaja mendengar permintaan itu. Ya ALLAH syukurku pada-MU kerana
ENGKAU telah membuka pintu hati Dino untuk kembali ke jalan-MU. Pintaku ya
ALLAH semoga beliau sentiasa berada di bawah lembayung kasih-MU ya RABB.
“Baiklah.
Saya pasti semua yang ada disini pasti gembira andai tahu awak mahu menjadi
imam,” usai berkata mereka mengatur langkah menuju ke surau.
SEMUA
jemaah turut mengalirkan airmata apabila mendengar ketulusan doa yang dibaca
oleh Dino itu. Terhenjut-henjut bahu Dino menahan tangisan. Kekesalan sentiasa
menghimpit diri biarpun kini dia sudah berubah menuju ke arah kebaikan. Bagaikan
terdengar suara rayuan si ibu tatkala dia menyepak terajang tubuh tua itu.
Sendu di hati kian terasa.
“Ya
ALLAH, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami. Ya ALLAH sesungguhnya
kami hamba-MU yang hina. Kami telah menzalimi diri kami. Maka ya ALLAH, KAU
hapuskanlah segala dosa kami. Hanya pada-MU tempat kami bergantung harap.
“YA
ALLAH sesungguhnya kami tidak sanggup untuk ke neraka-MU. Namun tidak pula kami
layak untuk ke syurga-MU. Syukran ya ALLAH, kerana ENGKAU mengurniakan kami
kesempatan untuk bertaubat dan kembali bersujud pada-MU. Hanya satu pinta kami
janganlah ENGKAU memesongkan hati kami setelah ENGKAU mengurniakan kami taufik
dan hidayah-MU. Aamiin ya rabbal alamiin.”
Dino
mengesat airmata yang menuruni pipi. Dia masih duduk bertapa di dalam surau.
Hatinya merasa tenang tatkala berada di dalam rumah ALLAH itu. Setelah semua
jemaah beransur pulang dia bangkit lalu mengambil kitab suci Al-Quran. Dia
memulakan bacaan dengan ayat lazim Al-fatihah.
Begitu
syahdu alunan bacaannya hingga menarik hati sesiapa jua yang mendengarnya.
Setelah setengah jam mengaji, dia menutup kitab suci itu. Sedikit tenang
hatinya apabila membaca kalam suci itu. Dia menadah tangan memohon doa pada
Yang maha Esa.
“Ya
ALLAH, sesungguhnya hanya ENGKAUlah tempatku meminta. Engkau jugalah yang
memberiku bahagia. Aku pohon ya ALLAH jadikan aku hamba-MU yang selalu
bertaubat. Ampunkan aku ya RABB kerana selama ini aku alpa dengan duniawi. Aku
sering melupakan ENGKAU ya ALLAH. Sesungguhnya dosaku pada-MU sungguh tidak terhitung.
Namun aku pohon agar ENGKAU mengampunkanku.
“Andai
suatu hari nanti sudah sampai ajalku, matikanlah aku di dalam iman. Berikanlah
aku kekuatan untuk menempuh ujiaan ini. Tabahkan hatiku untuk berhadapan dengan
masyarakat di luar sana. Aamiin.”
Dino
bingkas bangkit apabila mendengar suara riuh rendah di luar surau. Pantas dia
mengesat airmatanya. Dia melemparkan senyum pada ahli-ahli pusat pemulihan.
Dino mengambil bahagian untuk membersihkan di dalam surau. Irham turut
mengekori langkahnya.
“Dino,”
seru Irham. Dino menoleh sekilas sebelum dia mengatur langkah untuk mencapai
penyapu.
“Syabas
ya. Doa awak tadi menyentuh hati kami semua. Saya percaya bahawa awak
benar-benar memaksudkan apa yang terlafaz dari bibir awak tadi.”
Dino
hanya tersenyum. Irham menarik nafas berat. Dia tidak faham dengan lelaki itu.
Ada masa dia lihat lelaki itu termenung, ada masa pula dia lihat lelaki itu
menangis. Terkadang lelaki itu banyak berbual. Terkadang pula lebih banyak
berdiam. Dia mengerti sebab apa. Pasti lelaki itu tidak mahu berbual mesra
kerana khuatir akan kehilangan insan yang sudah rapat dengannya. Kerana dia
juga berperasaan begitu terhadap Dino. Entah mengapa hatinya benar-benar
menyayangi lelaki itu.
Irham
mengatur langkah mendekati Dino. Belum sempat dia bersuara tiba-tiba Pak Hasan
selaku penjaga pusat pemulihan itu memanggil nama Dino. Dia tersenyum pada Pak
Hasan. Di pusat pemulihan itu, Pak Hasan juga dikenali sebagai Sarjan Misai.
Kerana beliau merupakan bekas askar yang kini sudahpun pencen. Biarpun Pak
Hasan sedikit garang namun dia tidak pernah lokek dengan senyuman.
“Dino
ibu kau ada datang tu. Ada kat ruang tamu. Kau pergilah jumpa ibu kau. Pak
Hasan tahu kau rindukan ibu kau bukan?” bersinar-sinar mata Dino tatkala mendengar ujaran Pak Hasan.
“Baiklah.
Terima kasih Pak Hasan. Saya pergi jumpa mak saya dulu ya. Nanti saya akan
bersihkan surau. Ham nanti saya tolong awak,” ujar Dino sebelum berlalu.
Irham
hanya mengganggukkan kepala tanda jawapan. Sungguh dia merasa iri hati melihat
Dino yang teruja untuk bertemu dengan ibunya. Sedangkan dirinya hanya mampu
mensedekahkan al-fatihah buat si ibu. Ya! Ibunya meninggal dunia adalah
disebabkan dirinya. Dia yang memukul insan yang melahirkannya itu hingga si ibu
menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hanya semata-mata demi wang! Dia sanggup
melakukan apa saja. Apatah lagi wang tersebut digunakan untuk mendapatkan
bekalan ‘barang haram’ itu.
“Kau
kenapa? Ni Pak Hasan nak tanya. Selama kau duduk kat pusat pemulihan ni tak
pernah pula Pak Hasan nampak ada sesiapa nak jumpa dengan kau. Mak dan ayah kau
tak boleh memaafkan kekhilafan kau ke?” tanya Pak Hasan dengan berhati-hati.
Bimbang andainya pertanyaan itu mengguris hati jejaka muda dihadapannya.
Irham
menghembuskan nafas sebelum menjawab pertanyaan itu. Entah mengapa tiba-tiba
dia merasa dadanya sendat. Pilu terasa di hempedu hati tatkala fikiran kembali
terlayar peristiwa itu. Sejujurnya dia tidak selesa untuk menceritakan kisah
pahit itu. Bahkan selama dia menetap di
pusat pemulihan itu tidak pernah walau sekalipun dia menceritakan kisah pahit hidupnya.
“Ibu
bapa saya sudah meninggal,” ujar Irham perlahan. Dia menundukkan pandangan.
Kelopak matanya mula berkaca.
“Astaghfirullah.
Maafkan Pak Hasan. Kau pun tak pernah nak cerita pada Pak Hasan. Kau pergilah
berehat. Kasihan pula Pak Hasan tengok kau.”
“Tak
apa. Saya boleh…”
“Kau
pergi berehat sekarang. Kau nak dengar arahan Sarjan Misai ke kau nak kena
hukum?” soal Pak Hasan dengan wajah yang sengaja diseriuskan. Irham memanggung
kepala mendengar soalan berbaur ugutan itu.
“Baiklah
Pak Hasan. Saya nak pergi sapa ibu Dino dulu. Saya teringin nak kenal dengan
ibu Dino,” kata Irham lantas dia mengorak langkah meninggalkan surau.
Fikirannya
melayang pada kenangan lama. Hampir saja airmatanya menitis tatkala wajah si ibu
berlegar di ruangan mata. Langkahnya terhenti saat mata tertancap pada figura
Dino bersama ibunya. Mereka berpelukan erat. Seakan melepaskan rindu yang
selama ini bersarang di lubuk hati. Irham hanya menyaksikan drama sebabak itu.
Tidak mahu menggangu. Baru setapak dia melangkah dia menoleh apabila mendengar
namanya diseru seseorang. Pantas dia mendekati Dino.
“Kenalkan
ibu saya. Wanita paling cantik di dunia. Bidadari saya. Mak Timah namanya. Mak
ini kawan along. Irham. Dia baik sangat mak. Dialah yang banyak beri tunjuk
ajar tentang agama pada along.” Dino memperkenalkan si ibu pada Irham.
“Oh,
inilah Irham ya? Mak Timah nak ucapkan terima kasih sebab selama ni kamu banyak
membantu Dino,” ucap Mak Timah tulus ikhlas.
“Sama-sama
Mak Timah. Dah jadi tanggungjawab saya sebagai sahabat. Membimbing seandainya
melihat si sahabat terleka.”
Lega
hati tuanya apabila mendengar ujaran Irham. Baguslah sekurang-kurangnya ada
juga insan yang sudi bersahabat dengan anaknya.
“Mak…
bagaimana dengan adik-adik? Mereka sihat? Mereka tak mahu ke datang melawat
along? Atau mereka masih bencikan along?” mendengar saja pertanyaan demi
pertanyaan itu membuatkan hatinya merasa sebak. Tiba-tiba dia teringat
perbualannya bersama dua orang lagi anaknya. Perbualan dimana dia memujuk si
adik untuk menjenguk si abang.
Imbas
kembali…
“Apa?
Maaflah mak. Angah dan adik tak mahu jenguk along. Muktamad!” suara Dizly
memetir tatkala mendengar nama ‘along’ yang sudah memalukan mereka sekeluarga.
“Entah
mak ni. Mak sedar tak yang along tu penagih dadah? Kenapa mak masih terfikirkan
dia? Tak ingat apa along dah buat pada mak? Sudahlah mak lupakan along. Kami ni
pun anak mak juga. Tapi tak adalah mak nak sibuk ambil berat tentang kami,”
sinis Dynas anak bongsu Mak Timah.
“Astaghfirullah
kenapa dengan kau dua orang ni? Walau apa pun dah jadi along tetap anak mak.
Mak sayang anak-anak mak. Along dah berubah nak. Janganlah lagi kau dua orang
menghukum dia,” pujuk Mak Timah dengan lembut.
“Ah!
Kalau mak nak pergi, pergi sajalah. Malas kitorang nak jenguk along. Malu tahu
tak… ada abang penagih macam tu?” Mak Timah hanya mampu menggeleng kepala mendengar
kata kesat anaknya itu.
“Mak…
kenapa ni? Mendung je wajah mak.” Mak
Timah tersedar dari lamunan tika mendengar suara si anak yang amat dirinduinya
itu.
“Tak
ada apalah along. Adik-adik sihat. Adik ada kelas tambahan. Adik kan dah nak
periksa Pt3. Angah pula sekarang ni makin sibuk. Maklumlah adik kamu tu baru je
masuk Universiti. Tu sebab dia orang tak dapat datang. Mereka rindukan along.
Mereka kirim salam pada along,” bohong Mak Timah untuk menyedapkan hati Dino.
Dino
hanya tersenyum biarpun dia tahu bahawa ibunya sedang berbohong. Dia tahu
ibunya itu hanya mahu menjaga hatinya. Tanpa sedar dia melepaskan keluhan
berat. Mak Timah yang menyedari perubahan pada wajah anaknya merasa bersalah.
“Mak
Timah dah makan?” tanya Irham. Dapat dia melihat riak hampa yang terukir di
wajah Dino. Kasihan hatinya melihat wajah hampa itu.
“Belum
nak. Mak Timah ingat nak ajak Dino makan di luar. Tapi ada gotong royong pula,”
ujar Mak Timah. Dino mengaru kepala yang tidak gatal.
“Tak
apalah mak. Dino minta izin dengan Encik Zack untuk beri pelepasan sekejap.
Lagipun Dino rindu mak sangat-sangat. Dah lama kan kita tak luangkan masa
bersama,’ ujar Dino pula. Suaranya serak menahan pilu di hati.
Mak
Timah turut merasa sebak. Pantas dia mendakap tubuh anaknya. Ya ALLAH, aku
pohon agar KAU memberikan kekuatan buat anakku dalam mengharungi dugaan-MU ini.
Terima kasih ya ALLAH kerana ENGKAU telah membuka pintu hati anakku untuk kembali
bersujud pada-MU.
Usai
mendapat keizinan Encik Zack, Dino melangkah menuju ke arah ibunya dengan rasa
gembira yang tak terhingga. Melihat ibunya berbual mesra dengan Irham
membuatkan dia merasa bersyukur.
“Berborak
apa ni? Boleh along tahu?” tanya Dino setelah menghampiri Irham serta ibunya.
Bahu Irham dipeluk erat.
“Tak
ada apa. Mak awak kata kalau awak dah boleh keluar nanti mak awak ajak saya
tinggal sekali. Tapi itulah saya segan,” ujar Irham merendah diri.
“Kenapa
nak segan ni Irham? Awak kata dah anggap saya ni macam adik awak,” provok Dino.
Jika dizinkan ALLAH memang itulah rancangannya. Kerana bersama Irham
membuatkannya lebih dekat dengan Maha Pencipta.
“Tak
apalah. Berikan saya masa untuk fikirkan perkara ni,” ujar Irham dengan lembut.
Jika boleh dia tidak mahu menghampakan sahabatnya itu. Namun tatkala memikirkan
tanggapan masyarat terhadap ‘bekas penagih’ seperti mereka membuatkan dia merasa
takut untuk berhadapan dengan masyarakat.
Dino
menjungkitkan bahu. Dia tahu apa yang berlegar di fikiran si sahabat. Kerana
dia juga turut merasainya. Seandainya bisa, ingin saja dia menutup telinga dari
mendengar segala caci maki orang. Ya ALLAH terlalu banyak khilafku ketika
dahulu. Jahilnya aku! Teruknya aku! Ampunkanlah dosaku ya ALLAH.
SENYUMAN
tidak lekang dari bibir tua Mak Timah. Gembira bukan kepalang hatinya
mengingatkan anaknya, Dino. Perubahan demi perubahan anaknya amat
menggembirakan hati tuanya. Lafaz syukur tidak henti beralun di bibir.
Dizly
serta Dynas sedikit hairan melihat ibu mereka yang tidak sudah-sudah tersenyum.
Dynas mencuit bahu Dizly.
“Angah
pergilah tegur mak tu. Dari tadi lagi adik tengok mak asyik senyum-senyum ja.”
“Ish!
Adik ni. Pergilah tegur. Apahal pula angah nak kena tegur? Tapi kan angah
perasan sejak mak melawat ‘penagih’ tu mak dah lain macam,” ujar Dizly.
Panggilan ‘penagih’ itu ditujukan kepada abangnya.
“Ha’ah.
Adik perasan juga. Kalau kita cakap buruk-buruk pasal ‘penagih’ tu teruk kita
dimarahnya. Bencilah adik. Nampak sangat yang mak tu jauh lebih sayangkan ‘penagih’
tu dari kita,” sungut Dynas masih mengawal nada suaranya. Bimbang perbualan mereka menarik perhatian
ibunya pula.
Mak
Timah yang mendengar suara sok sek sok sek itu segera menoleh ke belakang.
Senyuman manis diberikan pada kedua putera dan puterinya. Dynas dan Dizly
segera mendekati si ibu. Mereka mengambil tempat berhadapan dengan si ibu.
“Err…
adik tengok mak asyik senyum je kenapa?” soal Dynas.
“Yalah.
Angah tengok sejak mak balik dari jenguk ‘penagih’ tu mak asyik senyum saja.
Kenapa? Apa yang menggembirakan sangat sampai mak tersengih-sengih? Apa yang
‘penagih’ tu buat?” tanya Dizly sedikit sinis.
“Cukup!
Jangan kamu nak menghina lagi abang kamu. Mak tak suka!” tegas Mak Timah. Mati
terus senyumannya apabila mendengar pertanyaan sinis Dizly. Hatinya berdongkol
geram. Sebal hatinya kerana anak-anaknya itu tetap berkeras tidak mahu
memaafkan si abang.
“Apa
yang mak banggakan sangat si ‘penagih’ tu? Kalau kami cakap buruk-buruk tentang
‘penagih’ tu cepat benar mak melenting. Kami ni bukan anak mak ke? Yang mak nak
sangat kami maafkan dia tu kenapa?” Dizly masih tidak berpuas hati.
“Cukup
mak cakap. Seburuk-buruk manapun Dino, dia tetap abang kamu!” tegas Mak Timah
sekali lagi. Lantas dia bingkas bangkit lalu meninggalkan anak-anaknya itu.
“Kau
tengoklah tu dik. sikit-sikit nak bela ‘penagih’ tu. Bencilah angah,” bentak
Dizly geram.
“Entah
mak tu. Menyakitkan hati betul,” rungut Dynas pula.
“Adik…”
meleret suara Dizly memanggil adiknya. Tangan Dynas diraih lantas dibawa ke
bibir. Dizly mengelus lembut pipi Dynas. Rambut ikal mayang Dynas dibelainya.
Dynas
tersenyum manis. Dia tahu apa yang ingin Dizly ucapkan. Kerana dia juga turut
merasainya. Sungguh dia merindui tubuh hangat abangnya itu.
Dengan
segera dia menarik tangan Dizly untuk ke kamarnya. Sekali lagi mereka melakukan
perbuatan terkutuk itu. Bila syaitan laknatullah menguasai diri, PAHALA dan
DOSA ditolak ke tepi. Langsung tidak tahu membezakan antara HALAL dan HARAM.
Firman
ALLAH :
Dan
janganlah kamu mendekati zina,
sesungguhnya
zina itu adalah suatu
perbuatan
yang keji,
dan
suatu jalan yang buruk [Surah Al-Israa’ : 32]
DIA
MENANGIS tersedu-sedan. Kini setelah setahun dia menghuni
Pusat Pemulihan Sinar Harapan, dia akhirnya dibebaskan. Dengan satu tekad dan
satu azam dia berjanji bahawa dia tidak akan sesekali menoleh ke belakang lagi.
Irham di sisi direnung sekilas. Mereka berbalas pandang.
“Awak
dah bersedia untuk mendengar segala hinaan masyarakat luar?” soal Irham dengan
perlahan. Di atas permintaan Dino, Irham akhirnya mengambil keputusan ini. Pada mulanya Irham berat hati untuk
meninggalkan pusat pemulihan itu. Namun setelah difikir-fikir dia akhirnya
mengambil keputusan. Dan kini dia di sisi Dino. Keputusannya muktamad. Dia mahu
menemani Dino yang sudah dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Dia ingin
menghabiskan sisa-sisa hidupnya di samping insan senasib dengannya.
“Saya
sudah lama bersedia. Dan saya berharap agar awak sentiasa di sisi saya. Saya
tak kuat tanpa awak dan ibu saya. Ham… mulai hari ni saya adik awak. Dan awak
abang saya. Andai kata awak disakiti saya juga akan turut merasa sakitnya,”
ujar Dino seikhlas hatinya.
Mengalir
airmata Irham tatkala mendengar ucapan ikhlas Dino itu. Mereka saling
berpelukan. Airmata kian mengalir deras apabila melihat wajah-wajah sendu
penghuni yang masih berada di pusat pemulihan itu. Sayu hati Dino untuk
meninggalkan sahabat-sahabatnya. Namun dia berjanji untuk sentiasa mengunjungi
mereka. Biar apa pun yang jadi mereka tetap bersahabat. Itu janjinya!
Sepanjang
perjalanan pulang, Dino tidak banyak bersuara. Dia lebih banyak menumpukan
perhatian pada sekeliling kampung. Terlalu banyak perubahan yang berlaku
sepanjang ketiadaannya. Airmatanya mengalir laju tatkala mata disapa kebun
arwah ayahnya. Disitulah tempatnya melepaskan gian. Disitu jugalah dia pernah
membelasah ayahnya hanya semata-mata demi wang. Kekesalan kian membelit
dirinya.
‘Ampunkan
Dino abah. Ampunkan Dino. Dino terlalu banyak dosa pada abah. Dino anak yang
jahat. Dino anak yang kejam. Ya ALLAH hapuskanlah khilafku selama ini,’ doa
Dino di dalam hati.
“Cantik
kampung awak. Kampung saya pun cantik. Tapi sayang… dah tiada sesiapa yang
menanti kepulangan saya. Saya anak yang hina Dino. Awak masih ada kesempatan.
Awak masih punya ibu untuk bermanja. Sedangkan saya tak ada sesiapa,” luah
Irham seraya melampiaskan kesedihan yang bermukim di dada.
“Awak
ada saya Ham. Saya adik awak sampai bila-bila,” balas Dino seraya tersenyum.
“Terima
kasih Dino. Kamu memang baik. Abang sayangkan kamu,” ujar Irham lantas dia
menarik Dino ke dalam dakapannya.
Pak
Cik Mat yang sedang memandu teksi turut merasa sebak melihat situasi itu. Dia
menyeka airmata yang mengalir di kelopak matanya. Sebak apabila melihat
perubahan Dino itu. Jika dahulu Dino sering saja mendatangkan masalah pada
penghuni kampung. Namun kini dia berharap agar masyarakat kampung bisa menerima
Dino. Dia yakin benar bahawa Dino sudah jauh berubah.
“Dino
kamu kalau nak kerja pak cik boleh carikan. Kebetulan Pak Cik Hasnol kamu
perlukan pekerja untuk tolong dia di kedai runcit tu. Bolehlah kamu dengan
kawan kamu kerja dengan dia. Dapatlah juga duit poket untuk sara keluarga kamu
nanti,” celah Pak Cik Mat tiba-tiba.
“Boleh
ke pak cik? Maksud saya, nak ke dia terima pekerja bekas penagih macam saya
ni?” soal Dino merendah diri.
“Ish!
Kamu ni nak buat apalah dia nak sisihkan kamu? Lagipun pak cik yakin kamu dah
berubah. Setiap orang ada melakukan kesilapan. Hanya tinggal pada kita untuk
membetulkan kesilapan tu atau masih mahu berada di takuk lama. Kamu jangan
khuatir. Pak Cik Hasnol kamu akan terima kamu bekerja.”
“Nanti
saya fikirkan. Terima kasih pak cik atas nasihatnya,” ujar Dino bersopan.
MAK
TIMAH mengucup sayang ubun-ubun anaknya itu. Gembira
bukan kepalang hatinya tatkala mendapat panggilan bahawa anaknya itu sudah diberi
kebebasan untuk keluar dari pusat pemulihan. Dia menyeka airmata dengan hujung
baju kurung kedahnya.
“Kenapa
along tak cakap nak balik? Kalau tak boleh mak jemput kamu. Mak rindu dengan
anak mak.”
“Along
pun rindukan mak. Along tak mahu susahkan mak. Mak dah terlalu banyak berkorban
untuk along. Mak… boleh kan kalau Irham duduk bersama kita. Lagipun Abang Ham
dah tak ada sesiapa mak.”
“Boleh
sayang. Mak izinkan,” ujar Mak Timah lantas dia menarik tubuh Irham serta Dino
ke dalam pelukan.
“Anak-anak
mak nak makan? Boleh mak sediakan,” ujar Mak Timah setelah meleraikan pelukan.
“Tak
apalah mak. Ham dengan Dino nak ke kedai runcit Pak Cik Hasnol. Kami nak minta
kerja di sana. Moga-moga adalah rezeki kami di sana,” ujar Irham menolak lembut
pelawaan ibu Dino.
“Baiklah
kalau macam tu. Mak doakan anak-anak mak dapat kerja tu.”
Usai
bersalam Dino dan Irham menaiki motor untuk ke kedai runcit Pak Cik Hasnol. Dino
melemparkan senyuman manis tatkala matanya menyapa beberapa orang jiran
tetangga yang dikenalinya. Namun senyumannya hanya dipandang sepi. Malahan
jelingan tajam yang diterimanya.Senyumannya mati tiba-tiba.
‘Ya
ALLLAH aku tahu aku terlalu hina suatu ketika dulu. Dan aku redha andainya ini
semua sebagai balasan di atas khilafku. Cuma satu ku pohon ya ALLAH.
Ampunkanlah aku. Ampunkanlah segala khilafku. Bukakanlah mata hati penduduk
kampung untuk menerimaku kembali ya RABB,’ doa Dino tidak putus-putus.
“Cekalkan
hati dik. Abang tahu adik abang ni kuat. Tak mengapa andainya masyarakat
memandang kita hina. Kerana ALLAH S.W.T tidak pernah memandang masa silam kita.
Yang ALLAH S.W.T pandang hanyalah masa hadapan kita. Jadi kita tak usah peduli
pandangan orang. Asalkan ALLAH tahu siapa diri kita,” nasihat Irham tulus dan
ikhlas.
Dino
mematikan enjin motor cabuknya. Lantas dia berselawat sebelum melangkah kaki
masuk ke dalam gerai runcit itu. Irham turut berselawat ke atas nabi junjungan
Nabi Muhammad S.A.W. Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk berselawat sebelum
melakukan sesuatu pekerjaan.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.
Eh kamu ni Dino ya? Anak Mak Timah? Bila kamu keluar dari pusat?” soal Pak Cik
Hasnol ramah.
“Baru
saja pak cik. Errr… Dino dengan kawan datang ni nak tanya ada kerja kosong tak
dekat sini?” tanya Dino terus saja ke akar umbi hajatnya ke kedai runcit
tersebut.
“Ada.
Kebetulan memang pak cik perlukan pekerja. Kamu tahu sajalah mana ada orang
yang sudi bekerja dengan pak cik ni. Pak cik juga seperti kamu. Bekas penagih,”
bisik Pak Cik Hasnol di telinga Dino.
Dino
tergamam demi saja mendengar kata-kata lelaki lingkungan 50-an itu.
“Sabarlah
pak cik. Sudah nasib kita untuk terus dipandang hina oleh masyarakat. La Tahzan
pak cik. Kerana ALLAH sentiasa bersama orang yang bersabar. Sabar kan separuh
dari iman. Daripada kita melayan orang yang bercakap-cakap buruk tentang kita,
adalah lebih baik seandainya kita meningkatkan iman. Dekatkan diri dengan
ALLAH, banyakkan berzikir, berselawat insya-ALLAH hati kita akan merasa
tenang,” nasihat Irham tulus dari lubuk hatinya.
“Terima
kasih anak muda. Kamu penuh taqwa di dalam dada. Pak cik kagum dengan kamu.
Siapa nama kamu nak?” tanya Pak Cik Hasnol seraya memaut erat bahu Irham.
“Irham
pak cik,” balas Irham dengan sopan.
“Baiklah
kalau macam tu kamu berdua diterima bekerja. Hari minggu kedai akan tutup. Tapi
tengok jugalah. Andai kata ada orang datang untuk membeli barang, pak cik akan
hubungi salah seorang dari kamu untuk masuk kerja. Kira macam kerja lebih masa.
Setuju?”
Serentak
Dino dan Irham menganggukkan kepalanya.
“Kalau
macam tu bolehlah mulakan kerja sekarang. Dino, kamu pergi susun barang dekat
rak hujung sana tu. Tadi pak cik tak sempat nak susun. Maklumlah dah tua ni.
tak boleh nak buat kerja berat sangat. Cepat saja penatnya,” seloroh Pak Cik
Hasnol lantas dia ketawa kecil. Dino hanya tersenyum mendengar gurauan Pak Cik
Hasnol itu.
“Baiklah
pak cik.”
“Ha
kamu Irham jagakan kaunter sekejap ya.”
Irham
menganggukkan kepala tanda mengerti. Pak Cik Hasnol berlalu pergi meninggalkan
Irham. Irham mengucap syukur yang tidak terhingga ke atas ILLAHI. Sungguh dia
gembira tatkala dirinya dan juga Dino diterima bekerja. Sekurang-kurangnya
dapatlah juga dia duit poket. Selain itu dia juga berhasrat untuk menghulurkan
sedikit wang sakunya kepada ibu Dino. Segan juga dirinya hidup menumpang tanpa
menghulurkan sedikit sumbangan.
DYNAS
SERTA DIZLY menjeling tajam wajah si abang. Di
dalam hati masing-masing menyumpah seranah lelaki yang sudah menyebabkan
kematian bapa mereka. Dino melemparkan senyuman manis buat adik-adiknya.
Langsung tidak dipedulikan riak kebencian yang terpancar di wajah adik-adiknya.
“Mari
angah, adik kita makan,” pelawa Dino bersama senyuman lebar.
“Huh!
Kau nak ajak aku makan? Tak usahlah. Aku jijik, geli nak makan bersama dengan
bekas penagih macam kau. Dasar tak sedar diri. Kenapa kau balik ke rumah ni? Kami
tak perlukan kau langsung di rumah ni!” bentak Dizly tanpa sedikitpun memandang
wajah abangnya.
“Entah.
Menyemak betul. Along tak ada dalam rumah ni, hidup kami dah aman tahu? Benci!”
cemuh Dynas pula. Senyuman manis masih terukir di bibir Dino. Sedikitpun dia tidak
menyimpan di dalam hati. Biarlah, dia rela diherdik, dihina asalkan sebuah
kemaafan diberikan kepadanya.
“Along
rindukan adik-adik along. Dah lama sangat kita tak makan bersama. Marilah,
along masak hari ni tahu? Sedap ni,” ujar Dino masih juga berlembut.
“Pergi
jalanlah dengan masakan kau tu. Tak sedar diri. Disebabkan kau abah meninggal.
Dan disebabkan kau jugalah kami diejek dan dipulaukan oleh orang kampung. Kami
malu. Malu ada abang penagih macam kau!” bentak Dizly sekuat hati.
“Maafkan
along. Along tahu along bersalah. Along dah banyak buat onar dalam keluarga
kita. Tapi… tak boleh ke angah dan adik beri along satu lagi peluang? Peluang
untuk along tebus balik kesalahan along?”
“Peluang?
Takkan pernah ada peluang untuk kau. Dan kau tak layak untuk dimaafkan. Kau
faham? Sudahlah dik, dari layan bekas penagih ni lebih baik kita ‘study’.”
Dynas
merangkul erat pinggang Dizly. Dia ingin melempiaskan nafsu yang kian bergolak
di dalam dada. Dino hanya mampu beristighfar di dalam hati. Sempat juga dia
bermohon agar diberi kesempatan untuk dirinya berbaik semula dengan
adik-adiknya. Sungguh dia tidak tega untuk terus dibenci oleh darah dagingnya
sendiri.
SEDANG
DINO
mengangkat tong gas untuk disusun, tiba-tiba telinganya menangkap suara orang
yang sedang mengutuk, mengata tentang dirinya. Dia cuba menyabarkan hati.
Senyuman kekal terukir di bibir. Sesungguhnya dia tidak sanggup untuk terus
mendengar caci maki masyarakat kampung, namun pesanan si ibu senantiasa
tersemat di mindanya.
“Satu
pesan mak, kalau along ada mendengar mulut orang kampung bercakap tentang
along… diamkan saja. Jangan pernah along berlawan kata dengan mereka. Biarkanlah
apa yang mahu mereka katakan. Kerana mak tahu along bukan lagi penagih dadah
seperti dahulu. Mak yang lahirkan along. Mak tahu anak mak dah berubah. Ingat
ya sayang. Diamkan saja apa kata mereka. Biarlah mereka dengan tanggapan
mereka. Asalkan along tak buat apa yang diperkatakan,” nasihat Mak Timah.
“Hai
Joyah, nampaknya kampung kita ni bertambah lagi la bekas penagih. Haih! Aku
rasa kampung Pening Lalat ni macam dah tak selamat je. Macam dah jadi tempat
berkumpul sampah masyarakat saja,” cemuh Mak Senah sambil mata menjeling ke
arah Dino.
“Itulah
yang aku risaukan ni Senah. Tu yang jaga kaunter tu. Pun nampak macam bekas penagih
saja. Haih! Dino ni kalau nak balik kampung tu kalau boleh semua kawan-kawan
penagih nak dibawa baliknya. Huh!”
“Betul
tu. Ish, kita ni kena berjaga-jaga sikit sekarang ni Joyah.”
Pak
Cik Hasnol yang kebetulan terdengar perbualan itu menggelengkan kepalanya.
Tidak tega hatinya untuk terus mendengar hinaan demi hinaan itu. Biarpun bukan
dirinya yang dihina namun entah mengapa hatinya merasa terpanggil untuk ‘menuntut
bela’ demi Dino.
Baru
saja Pak Cik Hasnol ingin mendekati dua insan tersebut, tiba-tiba langkahnya
dihalang. Dino menggelengkan kepalanya.
“Biar
sajalah pak cik. Esok-esok kalau mereka penat, mereka berhentilah dari bercakap
tentang saya.” Lembut saja suara yang dituturkan Dino.
“Tapi
Dino…”
“Biar
saja pak cik. Lebih baik saya tingkatkan kesabaran dan juga iman dari melayan
perkara tidak berfaedah,” tutur Dino penuh berhemah.
“”Apa
maksud kamu Senah?”
“Yalah,
sekarang ni bekas penagih dah semakin ramai. Jadinya kita ni kena berhati-hati.
Takutlah kalau-kalau rumah kita diceroboh orang nanti. Ha… selama ni kampung
kita aman saja kan? Manalah tahu kalau tiba-tiba rumah kau atau rumah sesiapa
sajalah dipecah masuk. Tak ada orang lain dah Joyah. Mesti bekas penagih la
tu,” ujar Mak Senah dengan suara yang sengaja dilantangkan.
Dino
menutupkan matanya. Dia berzikir untuk menenangkan hatinya. Tergendala kerjanya
itu demi saja mendengar hinaan demi hinaan itu. Sedang dia menenangkan diri
Irham menghampiri seraya berbisik.
“Zikirlah
sehingga hatimu merasa tenang. Mohonlah agar DIA memberikanmu kesabaran demi
menghadapi masyarakat yang menghinamu. Tabahkan hatimu wahai adikku. Abang tahu
bahawa kamu kuat.”
Dino
memeluk erat bahu Irham. Sungguh dia tidak mampu untuk bertenang andainya tiada
nasihat demi nasihat yang terpacul dari ulas bibir Irham. Rasa syukur yang
tidak terhingga dia ucapkan buat ibunya. Jika bukan kerana ibunya melaporkan
dia kepada pihak berkuasa sudah pasti dirinya masih bergelar penagih dadah.
Sempat
mata Mak Joyah menjeling Dino. Sekali imbas kelihatan seperti seorang ustaz
saja. Dengan penampilannya bersahaja, bersongkok bagai. Huh! Saja nak tunjuk
alimlah tu, desisnya di dalam hati.
“Betul
juga kamu tu. Mulai hari ni kita kena hati-hatilah ya Senah,” ujar Mak Joyah
pula. Kembang kempis hidung Pak Cik Hasnol mendengar perbualan demi perbualan
itu. Pantas dia menghayun langkah. Dino hanya membiarkan saja. Tidak sempat
dirinya menghalang langkah Pak Cik Hasnol yang semakin laju itu.
“Kamu
berdua ni tak sudah-sudah bergosip. Haih! Inilah yang menyebabkan neraka
dipenuhi dengan kaum Hawa. Nak tahu kenapa? Tu disebabkan mulut kamu. Mengumpat,
mengata sana sini. Tak baik tahu? Kan ke lebih baik kalau kamu gunakan mulut tu
untuk berzikir, berisghfar. Ada juga faedahnya,” bidas Pak Cik Hasnol selamba.
“Eh
Abang Hasnol ni nak meradang kenapa?” balas Mak Senah kurang senang.
“Aku
tak meradang Senah. Cuma kamu tu bercakap seolah-olah Dino dengan Irham ada
niat nak mengkucar-kacirkan kampung kita ni.”
Mak
Senah mencebir bibir. Berang apabila kata-katanya dibangkang oleh Pak Cik
Hasnol. Dia menjeling sekilas wajah Pak Cik Hasnol yang sedang berdiri di
hadapannya.
“Ala,
Abang Hasnol ni nak membela pula geng dia. Huh! Lama-lama kampung kita ni jadi
tempat berkumpul bekas-bekas penagih pula,” cemuh Joyah sambil mata menjeling
tajam wajah Dino serta Irham.
“Astaghfirullahalazim,
kamu jangan ikut sedap mulut bercakap Joyah,” ujar Pak Cik Hasnol sembari
mengurut dadanya.
Dino
segera menghampiri Pak Cik Hasnol. Dia memandang tepat ke wajah Mak Senah serta
Mak Joyah. Hingga terdiam kedua-dua wanita itu.
“Saya
pernah buat silap. Saya pernah buat khilaf. Saya adalah hamba-NYA yang penuh
noda. Saya terlalu banyak dosa. Disebabkan saya ayah meninggal. Dan disebabkan
saya mak dicemuh, dihina oleh orang kampung. Tapi satu saja Mak Senah dan Mak
Joyah harus ingat. Dunia ini bulat. Roda sentiasa berputar. Janganlah kita
menghina orang lain, kerana suatu hari ALLAH akan memberi kita rasa apa yang
diperkatakan oleh mulut kita. Andai saya ada salah dengan kalian, ampunkanlah
saya. Tapi tolong janganlah lagi menghina kami bekas penagih,” ujar Dino
sehabis lembut.
“Huh!
Kau tu anak tak kenang budi. Sepatutnya kau dihukum mati saja. Barulah hidup
tak menyusahkan orang. Ayah kau tu bukan main sayangkan kau. Tapi demi wang…
kau sanggup menderhaka dan mencederakan ayah kau hingga meninggal orang tua tu.
Anak jenis apa kau ha?” herdik Mak Senah.
“Astaghfirullahalazim,
cukup Senah. Kamu bercakap macam orang tak ada iman. Khilaf Dino biar sajalah
menjadi urusannya dengan ALLAH. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W mengampunkan
umat. Apatah lagi kamu insan biasa. Apa hak kamu untuk menghukum insan hina
seperti kami?
“Aku
dah bertaubat. Aku sedar kekhilafan aku. Begitu juga Dino dan Irham. Mereka
juga sudah bertaubat. Janganlah lagi kamu menghina mereka. Janganlah kamu
membuka aib orang. Kelak aib kamu akan dibuka oleh ALLAH S.W.T,” nasihat Pak
Cik Hasnol lembut.
“Ah!
Sudahlah Bang Hasnol. Tak perlulah kau jadi jadi ustaz dekat sini. Nak tegur
orang tapi diri sendiri pun masih banyak kurangnya. Huh! Marilah Joyah kita
pulang saja. Panas pula rasa berdepan dengan sampah masyarakat macam mereka
ni,” cemuh Mak Senah sebelum berlalu. Hilang terus moodnya untuk membeli barang
keperluan harian tatkala bertemu muka dengan Dino.
Irham
berisghfar panjang mendengar nada angkuh Mak Senah itu. Sungguh dia merasa
kasihan apabila Dino dan Pak Cik Hasnol terus-terusan menjadi bahan cemuhan. Dia
tidak kisah andainya dirinya menjadi cemuhan kerana dia bukanlah berasal dari
Kampung Pening Lalat. Namun telinganya terasa bagaikan bernanah setiap kali
Dino diherdik dan diicemuh oleh masyarakat. Sayu hatinya melihat wajah Dino
tatkala dirinya dikeji sedemikian rupa.
“Sabar
ya pak cik, Dino. Anggap sajalah ini dugaan dari ALLAH. Bukan mudah untuk
menjadi seorang hamba yang soleh. Tapi andai dugaan sebegini saja kita tak
mampu tempuh bagaimana pula dengan dugaan yang lebih berat dari ini bukan?”
“Barangsiapa
yang berusaha untuk sabar,
Maka ALLAH akan
Menjadikannya
seorang yang sabar…”
[Hadis Riwayat Bukhari]
“Pak
cik tak ada apa-apa. Tapi Dino… pak cik kesal dengan masyarakat kampung. Mereka
begitu mudah untuk menghukum. Sedangkan mereka tidak tahu tentang perkara
sebenar. Asalkan bekas penagih saja pasti mereka akan berburuk sangka.
Astaghfirullahalazim, ampunkanlah segala khilaf kami ya RABB. Sesungguhnya
hanya pada-MU tempat kami meminta, ampunkan kami ya ALLAH yang sering
melupakan-MU ketika dahulu. Jadikanlah kami hamba-MU yang selalu bertaubat,
aamiin,” doa Pak Cik Hasnol tulus dari lubuk hatinya. Dino dan Irham turut
mengaminkan doa tersebut.
Sekilas
Irham melihat wajah Dino. Dia tersenyum tatkala riak tenang terpamer di wajah
sahabatnya itu. Nampaknya Dino sudah berjaya untuk mengawal emosinya.
Alhamdulillah.
“Orang yang
gagah perkasa
Tidak diukur
dengan kemenangan dalam pertarungan,
Tetapi kekuatan
sebenar ialah
Orang yang dapat
mengawal dirinya ketika marah.”
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
“Dino
tak ada apa-apa. Usahlah pak cik bimbang. In shaa ALLAH Dino akan membiasakan
diri untuk mendengar segala cemuhan orang kampung. Tak mengapalah pak cik, Dino
redha untuk terus disakiti… kerana Dino tahu ALLAH S.W.T telah menjanjikan
sesuatu buat Dino andainya Dino terus bersabar. Insya-ALLAH.”
Tergamam
Irham mendengar tutur kata Dino itu. Masya-ALLAH tabahnya hatimu wahai sahabat.
Ya RABB cekalkanlah hati sahabatku ini. Jadikanlah dia hamba-MU yang selalu
bertaubat. Terimalah segala amalannya. Ampunkanlah segala kekhilafannya ya
RABB.




TAHNIAH!! BOLEH JOIN PERTANDINGAN CERPEN AADK NI. HEHE
ReplyDeletehehe... :) kalau ada lagi pertandingan apa salahnya kan? kiki :P tq kak
ReplyDeleteBest atam tahniah..atam perbaiki lagi ayat2 atam ya..anja xlh pndai dlm bidang ni.anja cuma men skit2 jer..ada ayat yg tergantung..kat baris yg dizly mrah kat along sbb tengking mak dia..sorry klo anja trlebih komen..cita ni best..jgn lupa smbung lg ya..
ReplyDeleteok syg. tq sudi komen ya. n nantikan kisah sambungannya :) tq suka kisah ni
Delete